Perkembangan baik SOSMA

A
A
A

BEBERAPA minggu lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah membuat keputusan bersejarah mengenai Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

SOSMA bukanlah undang-undang yang memperuntukkan kesalahan. Seseorang itu tidak didakwa melakukan kesalahan di bawah SOSMA. Ia adalah undang-undang yang memperuntukkan prosedur, kaedah keterangan dan kuasa pihak berkuasa apabila ia berkaitan dengan apa yang dipanggil sebagai ‘kesalahan keselamatan’.

‘Kesalahan keselamatan’ mengikut SOSMA termasuklah kesalahan di bawah Bahagian IV dan VIA Kanun Keseksaan.

Apabila seseorang itu disiasat atau didakwa di bawah kesalahan-kesalahan itu, SOSMA akan digunapakai.

Menurut Seksyen 13 SOSMA, jaminan tidak boleh diberikan kepada seorang yang dituduh berkenaan suatu kesalahan keselamatan kecuali orang yang dituduh itu yang berumur bawah 18 tahun, perempuan atau sakit atau uzur dan tidak dituduh di bawah Bahagian VIA Kanun Keseksaan.

Maka, bidang kuasa mahkamah dalam memberi jaminan dihadkan oleh Parlimen melalui akta tersebut. Kesannya adalah tertuduh ‘dihukum’ sebelum didapati bersalah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan melalui peguamnya telah memfailkan permohonan untuk mencabar larangan memberi jaminan di bawah Seksyen 13 SOSMA. Permohonan tersebut didengar oleh Hakim Nazlan dan beliau telah memutuskan bahawa Seksyen 13 tersebut adalah tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Dalam mencapai keputusan itu, Yang Arif telah membuat rujukan kepada doktrin ‘struktur asas’ yang diiktiraf oleh Mahkamah Persekutuan dalam dua kes sebelum ini iaitu Semenyih Jaya Sdn Bhd v Pentadbir Tanah Daerah Hulu Langat dan Indira Gandhi Mutho v Pengarah Jabatan Agama Islam Perak dan Ors And Other Appeals.

Artikel Berkaitan:

Kes-kes itu telah memutuskan bahawa kuasa kehakiman Persekutuan terletak pada mahkamah dan apa-apa percubaan untuk mengalihkan atau mengeluarkan kuasa kehakiman itu melanggar doktrin struktur asas tersebut. Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa Parlimen tidak boleh mengeluarkan bidang kuasa mahkamah melalui akta.

Oleh sebab Seksyen 13 itu menghalang kuasa mahkamah untuk memberikan jaminan, ia telah diputuskan sebagai melanggar Perlembagaan.

Peguam Negara sebagai Pendakwa Raya pada 13 Disember 2019 memaklumkan bahawa pihaknya tidak akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi. Oleh itu, keputusan Hakim Nazlan mengenai Seksyen 13 SOSMA adalah sah dan mengikat.

Keputusan tersebut telah memastikan hak tertuduh yang dibicarakan di bawah SOSMA untuk memohon ikat jamin tidak dinafikan secara mutlak dan mengembalikan bidang kuasa dan budi bicara mahkamah dalam menentukan sama ada tertuduh boleh diikat jamin. Itu sudah tentu akan memberi impak besar kepada tertuduh yang dibicarakan di bawah SOSMA selepas ini.

Selepas ini, tertuduh boleh memohon untuk diikat jamin daripada mahkamah dan mahkamah akan punya kuasa untuk menentukan menurut prinsip-prinsip sedia ada tentang permohonan ikat jamin.

Akan tetapi, keputusan tersebut tidak bermakna SOSMA kini boleh diterima sebagai undang-undang yang adil. SOSMA tetap undang-undang yang bertentangan dengan prinsip keadilan.

Kerajaan digesa untuk memansuhkan akta tersebut dan menggantikan dengan undang-undang lain yang benar-benar adil, sekiranya diperlukan.

* Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur