Keputusan majistret tolak reman OCPD adalah betul - Hakim Mahkamah Tinggi

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUANTAN - Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan semakan jenayah difailkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung keputusan Mahkamah Majistret di sini, yang menolak permohonan mendapatkan perintah reman seorang ketua polis daerah (OCPD) di Pahang yang didakwa menerima rasuah lebih RM1 juta.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz memutuskan demikian selepas meneliti hujahan SPRM selaku pemohon yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Rifah Izzati Abdul Mutalif dan peguam, Datuk Bob S Arumugam yang mewakili OCPD terbabit selaku responden dalam permohonan itu.

Zainal Azman dalam alasan penghakiman berkata, keputusan Mahkamah Majistret di sini yang menolak permohonan mendapatkan perintah reman terhadap seorang OCPD adalah betul.

Beliau menjelaskan Mahkamah Majistret tidak melakukan sebarang kesilapan dan terikat dengan keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh.

"Dengan meneliti rekod yang ada di dalam mahkamah, saya putuskan bahawa keputusan Mahkamah Majistret di sini, untuk menurut (mengikut) keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh adalah wajar dan tidak terkhilaf.

"Bagi saya, jika kita menggunakan doktrin itu adalah tidak salah dan permohonan TPR untuk menyemak permohonan tersebut ditolak," katanya dalam prosiding keputusan semakan jenayah di sini, pada Jumaat.

Zainal Azman berkata, perintah Mahkamah Majistret di sini, yang menggunakan pakai keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh kerana ia adalah keputusan terkini.

"Apa yang diputuskan Mahkamah Majistret itu bersandarkan kepada keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh yang memutuskan bahawa Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) tidak terpakai untuk permohonan reman bagi kesalahan yang disiasat di bawah Akta SPRM (ASPRM) 2009 juga adalah betul.

"Jadi, penemuan Mahkamah Majistret mengatakan keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh bahawa SPRM boleh menggunakan Seksyen 49 Akta SPRM yang secara khusus memperuntukkan tatacara penahanan.

"Sekiranya siasatan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam, maka Timbalan Pendakwa Raya mempunyai kuasa di bawah Seksyen 49(2) untuk mengeluarkan perintah sedemikian terutama jika reman adalah untuk tujuan siasatan,” katanya.

Pada 6 Jun lalu, SPRM mengesahkan seorang ketua polis daerah di Pahang ditahan kerana disyaki menerima rasuah lebih RM1 juta antara 2017 hingga 2022.

Pegawai kanan polis itu disyaki menerima rasuah bagi melindungi aktiviti pusat hiburan dan pusat urut di sekitar daerah kawalannya.

Susulan itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan salah laku atau jenayah dilakukan pegawainya dan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa yang menjalankan siasatan.

Pada 7 Jun lalu, Mahkamah Majistret Kuantan menolak permohonan reman oleh SPRM terhadap ketua polis daerah berusia 53 tahun itu bagi memudahkan siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan lebih RM1 juta.

SPRM kemudian memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Majistret pada 21 Jun dan menamakan ketua polis daerah sebagai responden.

Pada 11 Mei lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Temerloh, Roslan Mat Nor berkata, SPRM tidak boleh menggunakan Seksyen 117 CPC apabila memohon perintah reman kerana sekatan di bawah Seksyen 67 Akta SPRM 2009.

SPRM telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh pada 15 Mei yang memutuskan SPRM mesti bergantung kepada aktanya sendiri apabila mahu menahan reman seorang suspek dalam siasatannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah tolak permohonan reman OCPD

SPRM tahan OCPD disyaki terima suapan lebih RM1 juta