Kain lepas Pattani kembali popular di Malaysia

Zulkifli menunjukkan kain lepas Pattani dengan corak bunga raya
Zulkifli menunjukkan kain lepas Pattani dengan corak bunga raya
A
A
A

KOTA BHARU - Kain lepas yang suatu ketika dulu digunakan penduduk kampung di Kelantan sebagai pelilit kepala (semutar) dan ikat pinggang kini kembali popular.

Kini, kain lepas Pattani dari Pattani, Thailand turut menjadi pilihan masyarakat dan semakin dikenali di seluruh negara.

Pereka corak kain lepas Pattani, Zulkifli Abdul Rahman, 30, mengakui ramai yang mula meminati kain jenis itu terutama golongan muda walaupun harganya meningkat berkali ganda berbanding dahulu.

Zulkifli tidak melepaskan peluang menjual kain lepas yang coraknya direka sendiri dengan motif melambangkan kemelayuan, Nusantara dan alam semula jadi.

"Antara corak rekaan saya bersama rakan ialah bulan bintang, bunga raya dan keris," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya lagi, setiap corak itu mempunyai maksud tertentu dan antara yang menjadi pilihan dalam kalangan penggemar kain jenis itu.

Motif bunga klasik mendapat sambutan pelanggan terutamanya golongan muda.
Motif bunga klasik mendapat sambutan pelanggan terutamanya golongan muda.

Zulkifli menjual kain lepas Pattani pada majlis tertentu selain ada peniaga dari Kelantan yang datang sendiri ke kedainya di daerah berkenaan untuk membeli secara borong.

Artikel Berkaitan:

Sebagai pereka dan penjual, Zulkifli lebih menggemari corak lama yang diperkenalkan semula serta mendapat sambutan daripada pelanggan Thailand dan Malaysia.

"Harga kain lepas ini biasanya antara RM70 ke atas bergantung pada jenis kain, namun ada yang sanggup membayar pada harga tinggi jika coraknya lebih klasik," katanya.

Zulkifli memberitahu, masyarakat dahulu menggunakan kain lepas daripada kain kapas sebagai semutar dan lilit pinggang ketika bertani, bersilat dan melakukan kerja-kerja harian.

"Istimewanya ia boleh dipakai di kedua-dua belah kain kerana coraknya sama atau dipanggil corak semuka," katanya.

Kongsinya lagi, kain sepanjang 170 sentimeter (cm) dengan lebar 110cm itu juga boleh berfungsi sebagai 'senjata cindai' iaitu mempertahankan diri daripada musuh dengan melibas kain dan mengikat menggunakan kain itu.

Zulkifli turut mendapat sokongan isteri, Mariam Ishak, 30, untuk menjual kain lepas Pattani.

"Alhamdulillah, sambutan bukan sahaja dari pelanggan di Kelantan malah seluruh negara termasuk Perak, Terengganu dan Johor yang menempah melalui dalam talian," katanya.

Zulkifli yang meminati barangan antik turut menyertai program kebudayaan di negara ini atas jemputan pihak tertentu mengambil peluang memperkenalkan kain lepas kepada orang ramai.