Penduduk Kampung Batu Papan dakwa dengar ngauman harimau

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GUA MUSANG - Penduduk di Kampung Batu Papan yang terletak kira-kira dua kilometer (km) dari pusat bandar mendakwa mendengar ngauman harimau pada Selasa.

Pekebun Sufiah Yahya, 58, berkata, beliau mendengar bunyi itu ketika sedang menggali ubi kayu di kebun mereka.

Katanya, ia turut didengari oleh dua anak lelakinya yang berada di lokasi berbeza di dalam kebun itu.

"Pada Selasa kali pertama saya mendengar bunyi tersebut pada jam 11 pagi.

"Pada hari yang sama saya dengar bunyi yang sama buat kali kedua ketika di kebun bersama suami kira-kira jam 3 petang, kami tidak sempat menghabiskan kerja-kerja menggali ubi kayu dan terus lari menyelamatkan diri selepas mendengar bunyi ngauman yang kuat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Seorang penduduk, Abdullah Muda, 63, berkata, sejak sebulan lepas kira-kira 1,000 penduduk di sini hidup dalam keadaan berjaga-jaga selepas kelibat seekor harimau belang dikesan berada di laluan masuk kampung itu yang berjarak hanya lebih kurang dua kilometer dari Bandar Baru Gua Musang.

Beliau berkata, penduduk juga telah membuat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

"Kampung ini terletak berhampiran Hutan Simpan Kekal Batu Papan dan kemungkinan haiwan liar seperti harimau tersesat masuk ke kawasan rumah penduduk untuk mencari makanan.

Artikel Berkaitan:

"Kami berharap usaha menangkap harimau dapat dilakukan bagi meredakan kebimbangan kerana penduduk pernah terserempak dan melihat tapak harimau di kawasan kampung,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, kehadiran harimau belang yang berkeliaran di daerah itu telah menimbulkan suasana yang tidak aman dan tidak tenteram serta menjadikan rakyat berada di dalam ketakutan.

"Kita tahu ia disebabkan habitatnya telah diganggu. Justeru satu pasukan khas dicadangkan dari Jabatan Menteri Besar dan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Kelantan perlu diwujudkan segera bagi membantu agensi yang terlibat menangani hal ini.

"Kita harap usaha menjaga habitat haiwan ini dimasukkan dalam peruntukan RM11 juta dari Belanjawan 2024 negeri yang dibentangkan baru-baru ini bagi tujuan pembangunan ekologi,” katanya. - Bernama