Banjir: Penduduk mahu kerja dalamkan Sungai Tebrau disegerakan

Mangsa banjir, Siti Halijah Silim (dua dari kiri), 58, ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara, Johor Bahru pada Jumaat. - Foto Bernama
Mangsa banjir, Siti Halijah Silim (dua dari kiri), 58, ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara, Johor Bahru pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penduduk Kampung Pasir Tebrau dan Kampung Paya Kenangan di sini berharap pihak berwajib melakukan kerja-kerja mendalamkan Sungai Tebrau bagi mengelakkan banjir kilat berulang.

Anisah Pardi, 48, berkata, banjir kilat di kawasan itu sering berlaku memandangkan rumah mereka berdekatan dengan sungai berkenaan.

Suri rumah yang tinggal di Kampung Pasir Tebrau itu berkata, hujan lebat berterusan kira-kira 11 malam Khamis telah menyebabkan air sungai melimpah ke rumah penduduk, sekali gus memaksa mereka berpindah pada kira-kira 2.30 pagi.

"Sudah lama sungai ini tidak dibesarkan dan didalamkan, kali terakhir rasanya sudah beberapa tahun yang lepas.

"Malam tadi, lebih kurang 12.30 tengah malam air sungai masuk ke dalam rumah melalui dapur dan naik begitu cepat sehingga paras tingkap kira-kira satu meter pada 2.30 pagi," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara di sini pada Jumaat.

Ibu kepada seorang anak itu berkata, pujian harus diberikan kepada pihak berkuasa kerana bertindak pantas dalam mengarahkan penduduk agar segera berpindah.

Murad membersihkan kediamannya yang dinaiki air sehingga lebih satu meter di Kampung Paya Kenangan. - Foto Bernama
Murad membersihkan kediamannya yang dinaiki air sehingga lebih satu meter di Kampung Paya Kenangan. - Foto Bernama

Senada dengan Anisah, Murad Yunus, 54, yang merupakan penduduk Kampung Paya Kenangan berkata, air sungai naik ke rumahnya mencecah kira-kira satu meter pada 3 pagi sebelum surut lima jam kemudian.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya banjir kilat boleh berulang pada bila-bila masa sekiranya hujan kembali lebat hari ini.

"Sebab itu, saya berharap sungai ini dapat didalamkan dan dilebarkan segera memandangkan tahun ini sudah dua kali banjir," katanya.

Hujan lebat sejak malam Khamis menyebabkan lima kampung di daerah ini iaitu Kampung Paya Kenangan, Kampung Pasir Tebrau, Kampung Kangkar Tebrau, Kampung Sentosa Damai dan Kampung Sentosa Barat dilanda banjir dengan beberapa sungai berada pada paras bahaya dan waspada.

Berikutan itu, sejumlah 538 orang daripada 158 keluarga di lima kampung berkenaan kini ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru dan SK Bukit Mutiara yang masing-masing dibuka pada 8 pagi dan 10 pagi Jumaat. - Bernama