Dasar Gaji Progresif: Syarikat terima insentif tunai - Rafizi

Rafizi Ramli - Foto Bernama
Rafizi Ramli - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menyediakan insentif tunai di antara RM200-RM300 bagi syarikat yang menyertai program rintis Dasar Gaji Progresif bermula tahun depan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, insentif itu akan dibayar mengikut kadar dan kumpulan pekerja meliputi peringkat permulaan dan peringkat bukan permulaan.

“Bagi kumpulan peringkat permulaan, syarikat layak menerima kadar insentif pada nilai tetap sehingga maksimum RM200 sebulan selama 12 bulan, sekiranya syarikat membayar gaji pada kadar yang sama atau melebihi cadangan panduan kenaikan gaji tahunan.

“Kumpulan pekerja bukan peringkat permulaan pula, syarikat layak menerima kadar insentif pada nilai tetap sehingga maksimum RM300 sebulan selama 12 bulan sekiranya syarikat memberi kadar kenaikan gaji tahunan berdasarkan panduan kenaikan gaji tahunan,” katanya ketika sidang akhbar di Parlimen di sini pada Khamis.

Tambahnya, bagi tahun pertama pelaksanaan, cadangan had gaji ditetapkan untuk pekerja yang menerima gaji bulanan di bawah RM5,000 dan tidak kurang daripada gaji minimum.

Cadangan ini juga katanya, turut mengambil kira jumlah pekerja yang menerima gaji bulanan di dalam lingkungan RM1,500 dan RM4,999 merangkumi 66.6 peratus atau seramai empat juta pekerja.

"Had gaji yang ditetapkan ini mampu memberi liputan yang cukup luas untuk pekerja swasta menerima manfaat daripada inisiatif ini," katanya.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, peruntukan dana untuk pelaksanaan inisiatif di bawah Dasar Gaji Progresif akan disediakan mengambil kira kemampuan kewangan Kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan katanya, mengunjurkan dana permulaan antara RM20 juta hingga RM30 juta untuk setiap syarikat yang mengambil bahagian dalam projek rintis itu nanti.

Prestasi ‘Majikan Gaji Progresif’ juga katanya, akan dinilai melalui sistem penarafan bintang, berdasarkan dua komponen, iaitu komponen asas dan komponen bonus.

“Tujuan sistem penilaian majikan adalah untuk membolehkan syarikat bersaing antara satu sama lain dari segi prestasi kenaikan gaji bagi mewujudkan budaya penetapan gaji yang lebih baik.

“Penarafan bintang akan dikendalikan oleh agensi yang mempunyai kredibiliti supaya keputusan penarafan bintang dapat menjadi rujukan yang diterima oleh semua pihak,” katanya.