X

Kindly register in order to view this article
!

Wisma Putra sedia bantu bawa pulang jenazah remaja Malaysia

Saifuddin (dua dari kanan) pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada 260 pelajar sekolah menengah dan rendah Parlimen Indera Mahkota di SMKTPP hari ini.
A
A

KUANTAN - Kerajaan Malaysia menerusi Wisma Putra bersedia membantu menguruskan dan membawa pulang jenazah remaja yang dilaporkan meninggal dunia di Townsville, Queensland Australia.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, bagaimanapun keputusan untuk membawa pulang jenazah atau mengebumikan di sana adalah bergantung kepada keluarga atau waris.

Menurutnya, lazimnya apabila berlaku kemalangan atau kecederaan warga Malaysia yang menjadi pelancong atau tinggal di luar negara, mereka akan menghubungi wakil di kedutaan.

"Mereka (keluarga) akan hubungi kita. Kita akan pergi ke tempat itu segera dan menghulurkan bantuan setakat yang kita mampu. SOP (prosedur operasi standard) kemalangan atau kematian di luar negara adalah sama tidak kira di mana pun ia berlaku.

"Cuma dalam kes kematian kebiasaannya ia bergantung kepada keputusan keluarga sama ada nak kebumikan di luar negara atau bawa balik Malaysia. Balik akan melibatkan kos yang tinggi dan biasanya kita akan membantu dengan memberi kemudahan sahaja," katanya.

Semalam berlaku dua insiden membabitkan warga Malaysia di luar negara iaitu dua pelancong Malaysia cedera dalam kemalangan bas dengan sebuah trak di jalan menuju Laut Merah, Mesir, manakala seorang remaja berusia 16 tahun maut selepas melanggar besi bollard ketika bermain papan selaju di Townsville, Queensland, Australia.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja Malaysia maut ketika main 'skateboard' di Australia

Sementara itu, Saifuddin mengingatkan rakyat Malaysia agar membeli insurans ketika melancong dan berada di luar negara kerana kerajaan tidak menyediakan bantuan rawatan hospital atau tiket kapal terbang, sebaliknya akan membantu memasuki hospital kerajaan di negara itu sahaja.

"Insurans itu penting. Kerajaan tak ada bantuan rawatan cepat hantar hospital. Kita tak bantu tiket kapal terbang.

"Biasa menjadi masalah kalau rakyat kita yang melancong sakit dan masuk hospital. Bil akan menjadi sangat mahal dalam sesetengah kes, sebab itu pegawai kita akan bantu masuk hospital kerajaan kerana ada hospital luar negara yang percuma," katanya.

Terdahulu, Saifuddin menyampaikan sumbangan wang tunai RM100 seorang kepada 260 pelajar sekolah menengah dan rendah Parlimen Indera Mahkota di Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Panglima Perang (SMKTPP) di sini hari ini.

Saifuddin (empat dari kanan) selesai menyampaikan sumbangan RM100 kepada pelajar di SMKTPP hari ini.
Saifuddin (empat dari kanan) selesai menyampaikan sumbangan RM100 kepada pelajar di SMKTPP hari ini.

Dalam perkembangan lain, mengulas kejadian sekumpulan warga Malaysia yang mendakwa mereka diekori pihak berkuasa China ketika menunaikan solat di masjid Uighur, Saifuddin berkata, pihaknya di Kementerian Luar akan mendapatkan maklumat sebenar daripada mereka.

"Kes ini dua hari yang sudah. Jabatan yang berkaitan dari Kementerian Luar akan menjemput penulis dan teman-temannya untuk menceritakan apa yang berlaku sebenarnya.

"Malaysia tidak dalam senarai negara yang menerima apa sahaja laporan. Kita juga bukan dalam kumpulan negara yang mengkritik kerajaan China secara terbuka. Kita ingin memastikan kebenaran (dahulu).

"Kita mengambil pendekatan berhati-hati menilai semua laporan yang kita terima," katanya.

Beliau berkata, dalam pertemuannya dengan Menteri Luar China, Wang Yi baru-baru ini, kerajaan Malaysia telah melantik Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) untuk mengadakan kajian terperinci mengenai laporan tersebut daripada pelbagai pihak.

Katanya, buat masa ini Beijing belum menamakan pihak yang harus bekerjasama dengan ISTAC.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus