Dua pelajar minum air berkarbonat campur spirit meninggal dunia

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Dua pelajar dari sebuah sekolah menengah di Pitas yang kritikal akibat keracunan metanol disahkan meninggal dunia.

Kedua-dua pelajar berusia 17 tahun itu disahkan meninggal dunia masing-masing pada Rabu dan Khamis di Hospital Queen Elizabeth (QHE1) dan QHEII, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Zairolnizal Ishak berkata, kematian pelajar pertama dilaporkan pada jam 4.08 petang Rabu.

"Punca kematian ialah kegagalan fungsi pelbagai organ disebabkan keracunan metanol.

"Pelajar kedua pula dilaporkan meninggal dunia pada keesokan harinya iaitu pada jam 4 petang dan punca kematian disebabkan beberapa kecederaan pada otak akibat keracunan metanol," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, mayat kedua-dua pelajar itu tidak perlu dibedah siasat memandangkan punca kematian telah diperoleh dan mangsa meninggal dunia semasa menerima rawatan.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Sinar Harian pada 9 Jun lalu melaporkan dua pelajar Tingkatan Lima kritikal manakala 18 lagi rakan mereka menerima rawatan di hospital selepas minum minuman berkarbonat yang disyaki dicampur dengan spirit.

Difahamkan, pelajar berkenaan secara beramai-ramai telah meminum minuman berkenaan sehingga menyebabkan mereka mengalami keracunan metanol pada 6 Jun lalu.

Sementara itu, dalam kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan bahawa 20 pelajar terbabit telah mengalami keracunan metanol.

Dua pelajar yang kritikal itu memerlukan bantuan pernafasan dan masing-masing dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HQE1) dan HQEII.

ARTIKEL BERKAITAN: 20 pelajar disahkan mengalami keracunan metanol - JKNS

2 pelajar kritikal, 18 lagi dirawat minum air berkarbonat campur spirit