Perhilitan sahkan pekerja ladang maut dibaham harimau belang

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

GUA MUSANG - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan mengesahkan spesies haiwan liar yang menyerang seorang pekerja ladang getah warga Indonesia di Kampung Kuala Tol semalam, adalah jenis harimau belang.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, siasatan dijalankan oleh anggotanya setelah mayat mangsa dibawa keluar oleh anggota polis dari lokasi kejadian.

Beliau berkata, terdahulu pihaknya menerima makluman dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang berkaitan laporan kematian seorang penoreh getah disyaki diserang hidupan liar di kawasan ladang terbabit.

"Pasukan Mencari Dan Menyelamat (SAR) telah diberikan taklimat di IPD Gua Musang seterusnya bergerak ke lokasi kejadian jam 3.30 petang dan tiba lebih kurang jam 5 petang.

"Hasil siasatan mendapati spesies yang menyerang mangsa ialah harimau belang (Panthera Tigris Jacksoni),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang pekerja ladang Shabaini, 36, ditemukan maut dipercayai dibaham harimau dan mayatnya dijumpai dalam keadaan tidak sempurna dengan kesan kecederaan di bahagian leher serta hilang tangan kanan, kedua ibu jari kaki serta sebahagian bawah badan.

Mohamad Hafid berkata, Perhilitan Gua Musang telah menerima aduan berkenaan kehadiran harimau di kawasan ladang terbabit pada 20 November lepas.

"Tindakan siasatan di lokasi aduan telah dilakukan oleh kakitangan jabatan pada tarikh sama. Khidmat nasihat telah diberikan kepada pekerja supaya membersihkan kawasan kebun yang bersemak samun dan keluar bekerja secara berkumpulan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Perhilitan telah mengambil langkah proaktif dengan memasang 10 unit perangkap harimau dan perangkap kamera di kawasan panas aduan gangguan harimau belang di daerah ini.

"Semua perangkap adalah aktif dan dipantau setiap hari oleh kakitangan jabatan. Perhilitan memohon kerjasama pemilik dan pekerja ladang atau kebun supaya membersihkan semak samun, sentiasa berhati-hati, bekerja secara berkumpulan dan tidak membuat sebarang provokasi kepada hidupan liar sekiranya terserempak,” katanya. - Bernama