Buruh Indonesia dibaham harimau di Gua Musang

Pakaian Syabaini yang turut ditemukan di lokasi kejadian. - Foto ihsan PDRM
Pakaian Syabaini yang turut ditemukan di lokasi kejadian. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

GUA MUSANG - Seorang pekerja ladang warga Indonesia maut dengan keadaan mayat ditemukan tidak sempurna dipercayai dibaham harimau di ladang getah Kampung Kuala Tol, di sini pada Rabu.

Mangsa dikenali sebagai Syabaini, 36, ditemui di kawasan cerun pada jam 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 1.30 petang daripada ketua ladang memaklumkan kejadian pekerjanya yang dibaham binatang buas dipercayai harimau.

Menurut beliau, gerakan SAR terdiri daripada anggota polis, kakitangan Pejabat Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Gua Musang dan penduduk setempat.

“Usaha dijalankan kira-kira sejam di tempat kejadian dan menemui mangsa sekitar 200 meter dari lokasi motosikalnya.

“Ketika ditemui, mangsa sudah meninggal dunia dalam keadaan jasad tidak sempurna di kawasan cerun di dalam hutan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, pada Selasa.

Mayat berada sekitar 200 meter dari lokasi motosikal. - Foto ihsan PDRM
Mayat berada sekitar 200 meter dari lokasi motosikal. - Foto ihsan PDRM

Ujar Choon Foo, mayat mangsa dibawa keluar oleh pasukan SAR pada jam 6.16 petang dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pihak Perhilitan akan meneruskan pemasangan kamera dan perangkap harimau dalam usaha mengesan serta menangkap harimau tersebut.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Pihak polis juga menasihatkan masyarakat setempat yang keluar bekerja supaya bergerak secara berkumpulan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” kata beliau.

Akhbar sebelum ini melaporkan kejadian pekerja ladang warga Indonesia, Lalu Sukarya Yahya, 42, maut dibaham harimau di kawasan ladang kebun getah di Kuala Wok, Pos Pasik, Gua Musang pada 10 November lalu.

SAR yang dijalankan sebelum mayat Syabaini ditemui. - Foto ihsan PDRM
SAR yang dijalankan sebelum mayat Syabaini ditemui. - Foto ihsan PDRM

Selang sehari selepas itu, warga Myanmar, Ahka Soe Ya, 22, maut selepas diserang harimau belang ketika menoreh getah di Ladang Meranto pada 11 November lalu.

Sebelum itu, terdapat satu kes kecederaan dan dua kematian melibatkan masyarakat Orang Asli akibat diserang harimau belang pada 12 Mei dan 4 Oktober tahun ini.