Baca zikir ini bila lihat orang ditimpa musibah, besar fadilatnya

AMALKAN zikir ini apabila melihat orang ditimpa ujian.
AMALKAN zikir ini apabila melihat orang ditimpa ujian.
A
A
A

TATKALA melihat orang lain ditimpa ujian, jangan pula kita rasa suka dengan musibah yang menimpa mereka.

Sebaliknya, zahirkanlah rasa simpati terhadap rintangan yang dialami mereka. Bahkan, alangkah moleknya andai kita dapat mendoakan mereka agar dipermudahkan segala urusan mereka dan beroleh kesabaran dalam mendepaninya.

Pegawai Hal Ehwal Islam, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ustaz Muhammad Fahmi Rusli berkongsikan zikir yang boleh kita baca apabila melihat seseorang diuji dengan segala macam imtihan.

Zikir yang dimaksudkan berbunyi: الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي عَافَانِي مِمَّا ابْتَلَاكَ بِهِ وَفَضَّلَنِي عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقَ تَفْضِيلًا

(Alhamdulillahil lazi ‘aafaani mimmab talaka bihi, wa faddhalani ‘ala katsirim mimman khalaqa tafdhila).

Maksudnya: "Segala puji bagi ALLAH yang telah memberi a’fiyah (menyelamatkan aku) dari apa yang DIA uji kamu dengannya dan (segala puji bagi-NYA) yang telah memberi kurnia kepadaku ke atas sekalian makhluknya yang lain.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Begitu besar fadilatnya apabila kita mengamalkan zikir tersebut.

Jelas pendakwah itu, Nabi Muhammad SAW menyatakan bahawa pembacanya nescaya tidak akan ditimpa dengan ujian tersebut.

“'Melihat' di situ bukan sahaja merujuk kepada melihat orang yang diuji, tetapi juga mendengar tentangnya.

“Orang yang diuji itu meliputi segala macam ujian seperti dari sudut harta, kesihatan dan lain-lain,” katanya.

Bagaimanapun, Ustaz Muhammad Fahmi mengingatkan agar zikir berkenaan tidak dibaca di hadapan orang yang sedang diuji tadi.

“Ia bertujuan bagi menjaga hatinya,” coretnya menerusi akaun platform X miliknya.

Perkara tersebut turut ditekankan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya, al-Azkar.

Memetik artikel yang disiarkan menerusi laman web Bincang Syariah, Imam Nawawi menyebut bahawa para ulama menganjurkan agar zikir tadi dibaca perlahan.

“Hanya diri sendiri sahaja yang mendengar dan tidak boleh orang yang terkena bencana tadi mendengarnya supaya tidak menyakiti perasaan mereka,” katanya.

Dengan kata lain, zikir tersebut sebenarnya untuk kebaikan diri sendiri dan insan di sekeliling agar bencana tersebut tidak menimpa diri kita.