Agong zahir rasa kagum dengan sambutan luar biasa Hari Kebangsaan 2023

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong berkenan mencemar duli pada sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di Dataran Putrajaya pada Khamis. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong berkenan mencemar duli pada sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di Dataran Putrajaya pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Kerajaan Perpaduan bagi penganjuran sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang meriah dan luar biasa di Putrajaya, pada Khamis.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata, Seri Paduka turut menzahirkan rasa sukacita dan kagum dengan sambutan itu yang dijayakan dengan penglibatan jabatan dan agensi kerajaan serta pihak swasta.

Al-Sultan Abdullah bertitah, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini amat besar maknanya buat baginda dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menyambutnya buat kali terakhir selaku Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

"Sambutan ini menjadi kenangan manis yang akan sentiasa dalam ingatan buat Seri Paduka Baginda berdua,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa terharu dan terima kasih kepada rakyat pelbagai kaum yang telah datang menyertai dan memberi sokongan untuk meraikan sambutan hari yang bersejarah itu.

Al-Sultan Abdullah berkenan menyantuni rakyat pelbagai kaum semasa sambutan Hari Kebangsaan 2023. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan menyantuni rakyat pelbagai kaum semasa sambutan Hari Kebangsaan 2023. - Foto Bernama



Zahari berkata, Seri Paduka amat kagum menyaksikan persembahan yang ditunjukkan oleh kesemua kontinjen serta peserta daripada pelbagai peringkat umur yang mempamerkan semangat kenegaraan dan cintakan negara.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah semangat perpaduan dan patriotisme yang dipamerkan dalam setiap acara dan majlis yang dianjurkan di seluruh negara sangat membanggakan dan sewajarnya dipuji.

Artikel Berkaitan:

Baginda berharap semangat yang secara langsung mencerminkan keakraban rakyat pelbagai kaum itu dapat memperkukuh lagi keharmonian negara.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar kedaulatan Malaysia terus dipelihara dan dilimpahi dengan segala keberkatan dan keamanan yang berkekalan.

Lebih 100,000 orang membanjiri Dataran Putrajaya semalam bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang melibatkan 17,262 peserta, 67 kontinjen, 36 kumpulan pancaragam, 534 aset darat dan aset udara serta 100 ekor haiwan dalam perkhidmatan.

Sambutan itu turut disiarkan dan diikuti jutaan rakyat Malaysia secara langsung menerusi televisyen dan laman media sosial serta diraikan secara serentak di seluruh negara bermula pukul 7 pagi. - Bernama