'Jangan hina, perlekeh orang lain' - Ahmad Said

Ahmad Said ketika ditemui pemberita selepas aktiviti ramah mesra bersama ibu bapa di luar Sekolah Kebangsaan Kijal, Kemaman pada Khamis.
Ahmad Said ketika ditemui pemberita selepas aktiviti ramah mesra bersama ibu bapa di luar Sekolah Kebangsaan Kijal, Kemaman pada Khamis.
A
A
A

KEMAMAN - Pengarah Jentera Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said menempelak kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berhubung parti tersebut boleh menang pada pilihan raya hanya dengan meletakkan botol air mineral.

Beliau yang juga Pengerusi UMNO Terengganu itu berkata, kenyataan yang dikeluarkan tersebut bukan sahaja merendahkan pengundi Kemaman malah rakyat di kawasan berkenaan dianggap sebagai individu kurang cerdik.

"Ini merupakan sikap angkuh kepimpinan Pas dan penyokong-penyokong Pas.

"Bayangkan UMNO yang banyak berjasa pada negara dan negeri ini diibaratkan lawan botol air pun boleh menang kalau letak botol tersebut.

"Inilah mentaliti orang Pas yang perkecilkan seseorang sedangkan umat Islam menjaga tata laku dan percakapan.

"Jangan menghina dan perlekehkan orang lain.

"Apakah orang Kemaman ini tak berhati perut, tak ada maruah dan harga diri?

"Sebab itu saya minta orang Kemaman supaya jagalah harga diri kita dan jangan terpengaruh dengan mereka (Pas)," katanya.

Beliau berkata demikitan ketika ditemui pemberita selepas aktiviti ramah mesra bersama ibu bapa di luar Sekolah Kebangsaan Kijal, dekat sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Pada 19 November lepas, sebuah akhbar tempatan melaporkan Idris sewaktu berceramah di Unit Daerah Mengundi (UDM) Pekan Kijal menyatakan Pas optimis momentum pengundi Terengganu yang memberi sokongan padu kepada parti itu akan berterusan pada PRK Kemaman.

Menurut Idris, sekiranya meletak botol air mineral sekali pun, Pas boleh menang pada pilihan raya berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Bekas Menteri Besar Terengganu itu menyeru supaya pengundi Kemaman mempunyai kesedaran dengan memilih calon terbaik daripada BN untuk menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut demi kebaikan dan kesejahteraan mereka.

"Kita minta rakyat Kemaman berfikir dan menyedari bahawa calon yang kita letakkan ini merupakan seorang calon hebat dan berkaliber di mana beliau boleh memberi perkhidmatan terbaik pada mereka.

"Kita harap dalam kesemua Parlimen di Terengganu ini ada wakil satu-satunya (Kerajaan Perpaduan).

"Kita nak rakyat Kemaman sedar bahawa ini semua demi kepentingan mereka sendiri," ujarnya.

PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan saingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi Pas.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

PRK Kemaman dijangka menelan belanja RM3.5 juta, melibatkan 2,102 petugas dan 49 pusat mengundi yang mengandungi 244 saluran.

Parlimen ini mempunyai 141,790 pemilih berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Ogos yang dikemas kini sehingga 3 Oktober, merangkumi 141,382 pengundi biasa, 387 anggota polis, sembilan tentera dan pasangan serta 12 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Pada PRU15, calon Pas, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340.