'Saya tak kata tidak ada duit' - Nanta

Alexander Nanta Linggi (kiri) ketika Program Town Hall Rakyat yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu. FOTO: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Alexander Nanta Linggi (kiri) ketika Program Town Hall Rakyat yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu. FOTO: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menafikan bahawa kementerian yang diterajuinya kini tidak mempunyai sumber kewangan sehingga tidak dapat melaksanakan pembangunan sepertimana yang dirancang.

Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Kapit itu menjelaskan, peruntukan yang disediakan kerajaan untuk kementeriannya tidak mencukupi.

"Saya tak kata tak ada duit, duit tidak mencukupi untuk kegunaan sepenuhnya, itu maksud saya.

"Sebab itu saya kata keperluan kita hampir RM4 bilion tetapi kita diberi (peruntukan) sebanyak 25 peratus sahaja," katanya ketika Program Town Hall Rakyat yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dibangkitkan seorang penonton berhubung status kewangan kementeriannya.

Bagaimanapun katanya, peruntukan kementeriannya sudah bertambah pada tahun ini.

Salah seorang penonton bertanyakan soalan kepada Alexander Nanta Linggi (kiri) ketika Program Town Hall Rakyat yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu. FOTO: SINARHARIAN/ ROSLI TALIB
Salah seorang penonton bertanyakan soalan kepada Alexander Nanta Linggi (kiri) ketika Program Town Hall Rakyat yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu. FOTO: SINARHARIAN/ ROSLI TALIB

"Duit tahun ini ditambah kepada RM2.8 bilion jadi ada duit.... Jangan risau.

Artikel Berkaitan:

"Seperti dalam keluarga kita pun macam itulah, kita ada kekangan, sebab kerajaan yang ini perlu berbelanja untuk yang lain juga bukan sekadar menyelenggara atau membina jalan ada banyak kegunaan yang lain lagi misalnya pendidikan, kesihatan dan sebagainya," katanya.

Nanta merupakan menteri kabinet kelapan muncul di dalam program anjuran Sinar Harian tersebut.

Town Hall Rakyat sebelum ini menampilkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Selain itu bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub; Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.