‘Saya bukan bekerja untuk Sarawak sahaja, tetapi untuk semua’ - Nanta

Nanta - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Nanta - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bukan hanya akan memberi tumpuan kepada pembangunan di Sarawak sahaja, sebaliknya beliau turut memberi fokus secara keseluruhan dalam menangani infrastruktur jalan raya di negara ini.

Menurutnya, walaupun bukan pertama kali dilantik menjadi jemaah menteri dalam kabinet, beliau beranggapan tanggungjawab yang akan dilaksanakan cukup besar.

“Ramai beranggapan kami dari Sarawak apabila dilantik menjadi ahli kabinet mesti akan bersuara untuk Sabah atau Sarawak sahaja.

“Jadi apabila dilantik semula dan berada di KKR memang saya akan memberi tumpuan kepada kementerian ini yang merangkumi seluruh negara, bukan hanya memberi fokus kepada Sarawak sahaja,” katanya dalam sesi Town Hall Rakyat bersama di Auditorium Kumpulan Karangkraf pada Rabu.

Nanta ketika sesi Town Hall Rakyat bersama di Auditorium Kumpulan Karangkraf pada Rabu. - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Nanta ketika sesi Town Hall Rakyat bersama di Auditorium Kumpulan Karangkraf pada Rabu. - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

Sementara itu, menurut Nanta, bagi menyelesaikan isu yang berbangkit di KKR memerlukan kerja-kerja teknikal yang lebih menyeluruh.

Jelasnya, KKR mempunyai pasukan yang berpengalaman luas dan beliau sangat selesa bekerja di kementerian tersebut untuk menyelesaikan isu pengguna jalan raya.

Beliau berkata, kekangan kewangan menyebabkan beberapa projek untuk memperbaiki jalan raya menjadi sukar.

Artikel Berkaitan:

“Apabila berada di KKR penyelesaian agak teknikal apabila orang ramai mengadu berkenaan jalan berlubang atau rosak kerana pasukan kami terdiri daripada yang berpengalaman.

“Kekangan kita adalah keperluan kewangan, namun kita akan berusaha yang terbaik,” ujarnya.

Sebagai makluman, sesi Town Hall Rakyat sebelum ini menampilkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Selain itu bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub; Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!