Elon Musk tolak pelawaan Hamas

Elon Musk (tengah) dan Benjamin Netanyahu (kanan) mendengar penerangan pegawai IDF mengenai serangan Hamas pada 7 Oktober lalu semasa melawat Kfar Aza. - Agensi
Elon Musk (tengah) dan Benjamin Netanyahu (kanan) mendengar penerangan pegawai IDF mengenai serangan Hamas pada 7 Oktober lalu semasa melawat Kfar Aza. - Agensi
A
A
A

TEL AVIV - Manusia terkaya di dunia dan pemilik X, Elon Musk menolak jemputan Hamas untuk melawat Genting Gaza.

Musk memberi alasan faktor dan cabaran keselamatan di wilayah Palestin yang dikepung itu menjadi punca utama beliau menolak pelawaan tersebut.

Bagaimanapun, Musk tetap melahirkan keyakinan bahawa kemakmuran jangka panjang akan memberi manfaat kepada pihak bertelagah.

"Nampaknya sekarang agak bahaya untuk pergi ke sana, namun saya percaya Gaza yang aman adalah lebih baik untuk kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan pengguna X bernama Walter Bloomberg mengenai jemputan Hamas untuk melihat sendiri kesan kemusnahan di Gaza selepas dibedil tanpa henti oleh Israel sejak 7 Oktober lalu.

Pemimpin kanan Hamas, Osama Hamdan membuat jemputan selepas Musk bertemu Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan Presiden Isaac Herzog di Israel pada Isnin.

Semasa lawatan itu, Musk menyokong pendirian Netanyahu mengenai keperluan menghapuskan Hamas dan menyatakan kesediaan untuk membantu rejim Zionis dalam melucutkan senjata dan memerangi ekstremisme di Gaza. - Agensi

Artikel Berkaitan: