Projek Ladang Solar bawa pulangan ekonomi kepada Kedah

Mohamad Yusoff (kiri) berbual dengan Exco Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Perpaduan, Datuk Halimaton Shaadiah Saad (kanan) pada Sidang DUN Kedah di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Mohamad Yusoff (kiri) berbual dengan Exco Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Perpaduan, Datuk Halimaton Shaadiah Saad (kanan) pada Sidang DUN Kedah di Wisma Darul Aman pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Kedah mampu menjana pendapatan negeri lebih RM1.38 juta setahun melalui pembangunan Ladang Solar di seluruh negeri.

Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Sumber Air serta Alam Sekitar Kedah, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, pendapatan itu diperolehi melalui permohonan Permit Penggunaan Sementara dan cukai tanah bagi kategori Industri Perkhidmatan Solar yang telah diluluskan sejak 2016 hingga 2022.

Beliau berkata, Kedah merupakan antara negeri menerima sumber cahaya matahari paling tinggi sekali gus menjadi pilihan ramai pelabur untuk membuka ladang solar.

"Berdasarkan rekod, lebih 200 syarikat yang mengusahakan (ladang solar) dan kerajaan negeri dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT) mendapat hasil daripada kaedah permit penggunaan sementara tanah dan cukai tanah, PBT mendapat hasil (daripada) kebenaran merancang terhad atau kebenaran penuh.

"Mengikut rekod sejak 2016 hingga 2022, sebanyak RM1,387,597 (pendapatan negeri) setahun," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Beliau berkata sedemikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ts Dr Mohd Suffian Yusoff (Bandar Baharu-Pas) tentang sejauh manakah ladang solar mendatangkan faedah kewangan kepada pendapatan negeri.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pembangunan Ladang Solar akan mewujudkan peluang dalam sektor pembinaan dan penyelenggaraan projek solar tersebut.

Tambah Mohamad Yusoff, pembangunan Ladang Solar juga memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat termasuk golongan berpendapatan rendah (B40) yang terlibat dengan projek-projek ladang solar di Kedah.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri juga terlibat memberikan khidmat kepada rakyat melalui satu projek solar terbaharu yang siap semalam (Selasa) di Jalan Padang Sanai dekat Durian Burung melibatkan garisan jalan di tengah jalan.

"Cahaya matahari dikumpulkan dan apabila waktu malam (maka) akan nampak satu garisan yang terang-benderang melalui kelulusan peruntukan sebanyak RM500,000 oleh Pegawai Kewangan," katanya.

Lebih istimewa, kongsi beliau, projek solar garisan jalan berkenaan adalah pertama di Kedah dan terpanjang di Malaysia melibatkan tiga kilometer (km).

Beliau berkata, projek solar berkenaan bukan hanya memberikan keselesaan dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya.