'Tenaga Net Zero' jimat operasi elektrik LRA RM7 juta setahun

Abas (kiri) mengiringi Amirudin (kanan) semasa melawat ruang pameran semasa Majlis Pelancaran Visi Tenaga Net Zero 2040 di LRA SSP2, Jalan Bukit Badong di sini pada Khamis.
Abas (kiri) mengiringi Amirudin (kanan) semasa melawat ruang pameran semasa Majlis Pelancaran Visi Tenaga Net Zero 2040 di LRA SSP2, Jalan Bukit Badong di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dijangka mampu menjimatkan penggunaan tenaga elektrik di Loji Rawatan Air (LRA) kira-kira RM600,000 sebulan atau RM7 juta setahun melalui pelaksanaan inisiatif visi 'Tenaga Net Zero' 2040.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pada masa ini, Air Selangor membayar sebanyak RM32.3 juta sebulan hanya untuk kos elektrik di seluruh LRA di negeri ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak RM12.2 juta sebulan dibayar kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi bil elektrik pengoperasian Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2, dan SSP3.

"Sekiranya projek (Tenaga Net Zero) ini siap sepenuhnya, ia akan memberikan sumbangan sekitar tujuh peratus kepada 1.4 gigawatt (GWh) tenaga elektrik hijau yang akan dihasilkan menjelang tahun 2040," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Visi Tenaga Net Zero 2040 di LRA SSP2, Jalan Bukit Badong di sini pada Khamis.

Amirudin memberitahu, Air Selangor telah memulakan fasa pertama dengan pemasangan panel fotovoltaik solar (PV) di LRA SSP2 berkapasiti 9 megawatt arus ulang alik (MWac) pada 29 September lalu.

Amirudin (dua dari kiri) dan Abas (kiri) bergambar semasa pelancaran Visi Tenaga Net Zero 2040 di LRA SSP2.
Amirudin (dua dari kiri) dan Abas (kiri) bergambar semasa pelancaran Visi Tenaga Net Zero 2040 di LRA SSP2.

Beliau memberitahu, projek itu diikuti pemasangan panel PV berkapasiti 10.5 MWac di LRA SSP3 pada penghujung tahun ini dan di LRA SSP1 berkapasiti 11.5 MWac yang dijangka siap pada Disember tahun depan.

Artikel Berkaitan:

"Ini sebahagian usaha kita ke arah mencapai matlamat kapasiti RENEW (tenaga boleh diperbaharui untuk air) yang bukan sahaja merancang tetapi telah dilaksanakan," jelas beliau.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Ir Abas Abdullah berkata, pihaknya selaku pengendali perkhidmatan air terbesar di negara ini, cakna tentang kesan mendalam operasi terhadap pengguna dan alam sekitar.

"Komitmen kami terhadap kelestarian bukan hanya satu pilihan, ia satu matlamat penting dan sebahagian daripada visi ini," katanya.

Berucap pada majlis itu, Abas memberitahu, Air Selangor menjangkakan unjuran sumber tenaga masa kini dan akan datang akan meningkat seiring dengan peningkatan pemintaan air.

"Menjelang tahun 2040, penggunaan tenaga dijangka mencapai 1.46 TWh (terawatt hours), menandakan peningkatan sebanyak 145 peratus dari tahun 2022.

"Kos sumber tenaga pula dijangka meningkat sebanyak RM631.5 juta, merekodkan peningkatan sebanyak 152 peratus dari tahun 2022," jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, Air Selangor telah menggariskan dan memulakan kerangka strategik dalam pelan hala tuju kami untuk mencapai net zero menjelang tahun 2040.

"Kami telah memperkenalkan program RENEW dan Strategi Kecekapan Tenaga (EE Strategy) yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Air Selangor.

"RENEW ini mempunyai beberapa objektif penting, antaranya adalah untuk memastikan kadar tenaga boleh diperbaharui ini terus mampan, selain diperkenalkan untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga dalaman melalui inisiatif penggunaan tenaga efisien.

"Selain itu, EE juga telah diperkenalkan dengan objektif untuk mengurangkan Indeks Tenaga Korporat sebanyak 15 peratus dalam tempoh 15 tahun yang turut menyokong Strategi RE yang telah diluluskan sebelum ini," tambah beliau.