Gelap mata pulangan lumayan, akhirnya rugi lebih RM1 juta

Mangsa mula terpengaruh selepas melihat iklan kerja sambilan di Facebook. (Gambar hiasan) - Gambar kecil: Mohd Sohaimi
Mangsa mula terpengaruh selepas melihat iklan kerja sambilan di Facebook. (Gambar hiasan) - Gambar kecil: Mohd Sohaimi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pengurus stor sebuah syarikat swasta kerugian lebih RM624,447 selepas ditipu sindiket penipuan yang menawarkan pekerjaan sambilan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan kejadian itu daripada mangsa yang berusia 46 tahun pada Selasa.

Menurutnya, lelaki itu mula terpengaruh selepas melihat iklan kerja sambilan di Facebook iaitu menyiapkan tugasan tempahan hotel yang menjanjikan pulangan lumayan.

"Mangsa teruja melihat komisen yang diterima semasa tugasan awal telah membuat 26 kali transaksi bayaran ke dalam 26 akaun yang berlainan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM624,447.

"Mangsa kemudiannya merasa curiga dan percaya telah ditipu kerana komisen yang dijanjikan tidak dapat dikeluarkan selain laman web tersebut tidak dapat diakses," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Sohaimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Polis juga akan menyiasat aspek pembabitan keldai akaun dan tindakan akan diambil kepada pemilik akaun terbabit," katanya.

Mohd Sohaimi berkata, bagi kes berlainan, pihaknya turut menerima aduan seorang wanita warga emas kerugian sebanyak RM420,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mangsa wanita tempatan berusia 78 tahun itu telah tertarik dengan iklan pelaburan di Facebook pada September lalu.

"Mangsa kemudiannya diberikan pautan untuk menonton panduan pelaburan pada setiap hari. Kemudian mangsa membuat transaksi ke dalam empat akaun berbeza bermula Oktober sehingga 20 November sebanyak RM420,000.

"Bagaimanapun, mangsa mula curiga dan percaya dirinya telah ditipu selepas tidak menerima sebarang keuntungan sebagaimana yang dijanjikan. Mangsa seterusnya membuat laporan polis pada Selasa," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Sohaimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Polis juga akan menyiasat aspek pembabitan keldai akaun dan tindakan akan diambil kepada pemilik akaun terbabit," katanya.