Tiga lelaki didakwa larikan barang kemas RM1.4 juta

Tiga lelaki tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Rabu atas pertuduhan melakukan rompakan barang kemas hingga menyebabkan kerugian RM1.4 juta, tiga minggu lalu.
Tiga lelaki tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Rabu atas pertuduhan melakukan rompakan barang kemas hingga menyebabkan kerugian RM1.4 juta, tiga minggu lalu.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Rabu atas pertuduhan melakukan rompakan barang kemas hingga menyebabkan kerugian RM1.4 juta, tiga minggu lalu.

Kesemua tertuduh, R Gunasellan, 52; AF Adrian Raj Dominic, 29, dan R Anandan, 35, beralamat dari Klang, Selangor masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan, tiga rakan itu bersama enam lagi yang masih bebas telah melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan senjata parang panjang kepada Chong Yong Seng, 26, dan Tan Kang Chiat, 26, dengan merompak harta milik mereka iaitu pelbagai barang kemas bernilai RM1.4 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kenderaan Jalan Dato Maharajalela, Kuala Kangsar jam lebih kurang 9.40 pagi pada 6 November 2023.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan menawarkan jaminan RM30,000 setiap seorang mengambil kira kerugian yang dialami mangsa selain perlu melapor diri ke balai polis sekali sebulan sehingga kes selesai.

Peguam A Tulasi yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan paling minimum memandangkan kesemua tertuduh telah berkahwin dan mempunyai tanggungan.

Katanya, anak guamnya yang bekerja sebagai pemandu lori dan ejen pusat panggilan itu juga telah memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan sejak tangkapan dibuat.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudiannya membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin RM20,000 setiap seorang dan membenarkan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan sebelumnya.

Hakim turut menetapkan 29 Disember depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Sementara itu, dalam prosiding sama, mahkamah mengenakan denda RM2,500 dan pengawasan oleh pihak polis selama dua tahun ke atas Gunasellan dan Anandan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis morfin dan 11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol dalam badan.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dikenakan enam bulan penjara sekiranya gagal bayar denda berkenaan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar antara jam 3 petang hingga 3.20 petang pada 7 November 2023.

Pertuduhan ke atas mereka dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamalludin mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara hingga dua tahun.

Dalam kejadian 6 November itu, polis menerima maklumat berlaku rompakan melibatkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan tukul.

Suspek dikatakan memakai sarung muka telah bertindak memecahkan cermin kereta dinaiki dua jurujual syarikat emas yang membawa barang kemas tersebut.

Siasatan dijalankan kemudiannya berjaya menahan tiga lelaki di sebuah lokasi di Shah Alam, Selangor sekitar jam 2.10 petang selepas hampir tiga jam kejadian dilaporkan.

Bagaimanapun semasa tangkapan dilakukan, barang kemas bernilai RM1.4 juta yang dilarikan tidak dijumpai.