X

Kindly register in order to view this article
!

Kumpul dana RM3 juta untuk bantuan musim sejuk pelarian Syria

Mohd Hakim bersama Dr Muhaya menyampaikan sumbangan sebanyak RM3 juta untuk kempen musim sejuk Syria pada majlis Makan Malam Sahabat Serantau Muslim di sini malam tadi. - FOTO ROSLI TALIB
A
A

BANGI - Misi Bantuan Musim Sejuk Syria yang dilancarkan oleh Serantau Muslim sejak dua bulan lalu berjaya mengumpul dana sebanyak RM3 juta bagi menampung keperluan seramai 60,000 pelarian Syria di tiga negara.

Pengerusi Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor berkata, pihaknya selaku pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) akan ke Syria selama 10 hari bermula 2 Januari.

Menurutnya, selain makanan, dana hasil sumbangan orang ramai itu juga akan digunakan untuk membeli pakaian dan selimut bagi membantu pelarian mengharungi musim sejuk dengan suhu mencecah negatif darjah celcius.

"Ini bantuan musim sejuk kali kedua melibatkan pelarian Syria di tiga negara iaitu Lubnan, Turki dan Syria.

"Wang sumbangan diperoleh daripada kira-kira 5,000 penderma yang dilakukan secara perbankan dalam talian.

"Hebahan dibuat melalui laman Facebook dan jumlah sumbangan meningkat berkali ganda berbanding misi bantuan sama tahun lepas," katanya kepada media selepas Majlis Makan Malam Sahabat Serantau Muslim di sini malam tadi.

Dr Muhaya bersama Mohd Hakim merasmikan majlis Makan Malam Sahabat Serantau Muslim di sini malam tadi. - FOTO ROSLI TALIB
Dr Muhaya bersama Mohd Hakim merasmikan majlis Makan Malam Sahabat Serantau Muslim di sini malam tadi. - FOTO ROSLI TALIB

Perasmian majlis disempurnakan pakar motivasi yang dilantik sebagai Duta Serantau Muslim, Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad.

Selain Dr Muhaya, lima lagi tokoh terkenal dilantik menjadi duta NGO tersebut iaitu pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah dan personaliti dakwah, Isfadiah Mohd Dasuki serta penceramah bebas, Asma Harun.

Dua lagi duta ialah juara Imam Muda musim kedua, Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan dan naib juara Da’i Pendakwah Nusantara, Nur Afiqah Mahmud.

Pada majlis sama turut dilancarkan 'Food Truck Combi' yang merupakan program bantuan makanan percuma dengan sasaran untuk dimanfaat kepada 14 juta rakyat di negara ini sepanjang tahun depan.

Mohd Hakim berkata, sebanyak 100 trak makanan akan diguna bagi menjayakan misi tersebut membabitkan kira-kira 40,000 penerima setiap hari.

"Dana program ini juga dari sumbangan orang ramai termasuk badan korporat dan agensi tertentu.

"Makanan percuma diberikan kepada sesiapa sahaja di lokasi tertentu yang berubah setiap hari termasuk di kawasan bandar bermula jam 12 tengah hari hingga 3 petang.

"Justeru kita mengalu-alukan tajaan daripada badan korporat yang pada masa sama dapat mempromosikan produk mereka kepada orang ramai," katanya.

Pada majlis makan malam bagi meraikan 700 penderma di kalangan sahabat Serantau Muslim itu, turut dilancarkan aplikasi sedekah Serantau Muslim.

Menurut Mohd Hakim, aplikasi tersebut memaparkan beberapa kategori bantuan untuk penerima di lebih 40 negara.

"Ini mempermudahkan orang ramai menderma mengikut pilihan masing-masing.

"Aplikasi ini juga menyediakan jejak bagi membolehkan penderma melihat perjalanan ke mana wang derma itu disalurkan sehingga sampai ke tangan penerima," katanya.