Selepas Naail, Misi Rakyat bantu Athif kumpul dana RM9 juta

Muhammad Athif hidap penyakit genetik jarang berlaku, SMA, Jenis 1 selepas beberapa bulan dilahirkan perlukan bantuan orang ramai.
Muhammad Athif hidap penyakit genetik jarang berlaku, SMA, Jenis 1 selepas beberapa bulan dilahirkan perlukan bantuan orang ramai.
A
A
A

KUANTAN - Luluh hati pasangan suami isteri apabila mengetahui anak bongsunya yang berusia 15 bulan menghidap penyakit genetik yang jarang berlaku, Atrofi Otot Spina (SMA), Jenis 1 selepas beberapa bulan dilahirkan.

Muhammad Athif Fahri Mohd Farhan, menghidap penyakit itu dan memerlukan suntikan ubat jenis genetik Zolgensma bernilai kira-kira AS$2.1 juta bersamaan RM9.28 juta untuk kesan pulih seumur hidup.

Bapanya, Mohd Farhan Mohd Sait, 35, berkata, perbelanjaan besar bagi menanggung kos rawatan anak ketiganya itu membuat mereka merayu sumbangan orang ramai.

Menurutnya, Muhammad Athif tidak mempunyai banyak masa dan berbaki lapan bulan jangka hayatnya, jika tidak tidak menerima suntikan terbabit sebelum usia mencapai dua tahun.

"Kami merayu agar bantuan untuk anak kami sebanyak RM9 juta berjaya dikumpul.

"Sumbangan daripada orang ramai diperlukan semata-mata untuk ubat sahaja bukan untuk tujuan lain,” katanya dengan nada yang sebak.

Sebelum itu, Mohd Farhan dan isterinya, Nur Azizah Zamri, 33 yang menerima kunjungan Yayasan Misi Rakyat, di kediaman mereka di Permatang Badak, pada Ahad.

Difahamkan, Muhammad Athif dilahirkan pada 3 Mac 2022 dengan berat 3.33 kilogram serta ukur lilit kepala 33 sentimeter.

Mohd Farhan memaklumkan, suntikan ubat genetik Zolgensma diperlukan bagi menghentikan proses kemerosotan fungsi ototnya yang terjejas akibat penyakit itu.

Ujarnya, terdapat tiga rawatan merawat penyakit itu, sama ada ubat Risdiplam untuk seumur hidup, ubat cucuk tulang belakang atau suntikan ubat genetik terbabit.

Tambahnya, kini Muhammad Athif bergantung pada ubat Risdiplam yang perlu diambil setiap hari dengan kos ubat mencecah sehingga RM40,000 sebulan.

Mohd Farhan (kanan) dan Nur Azizah merayu sumbangan orang ramai bagi membolehkan anaknya Muhammad Athif disuntik dengan ubat genetik Zolgensma.
Mohd Farhan (kanan) dan Nur Azizah merayu sumbangan orang ramai bagi membolehkan anaknya Muhammad Athif disuntik dengan ubat genetik Zolgensma.

"Kami bernasib baik apabila banyak pihak memberi sumbangan untuk mendapatkan ubat berkenaan sehingga kini sudah masuk botol ke tujuh.

"Ubat ini membantu mengurangkan keadaannya supaya tidak merosot otot, sementara menunggu dana lebih RM9 juta bagi mendapatkan suntikan ubat jenis Zolgensma, sekali gus memberi peluang anak kami (Muhammad Athif) sembuh sepenuhnya," ujarnya.

Sebelum itu, Mohd Farhan memberitahu sejurus dilahirkan, doktor mengesan sesuatu tidak kena dengan Muhammad Athif dan mengambil sampel darah untuk dibuat ujian sebelum disahkan menghidap penyakit terbabit sebulan kemudian.

Jelasnya, pihak perubatan kemudian memaklumkan Muhammad Athif tidak mempunyai harapan untuk hidup dan dijangka hanya dapat bertahan sehingga enam bulan.

Menurutnya, usaha mendapat rawatan untuk Muhammad Athif di Hospital Kuala Lumpur (HKL) juga gagal apabila pihak hospital memaklumkan mereka tidak boleh berbuat apa-apa.

“Selepas membuat pencarian di Internet, baru saya dapat tahu rawatan tersebut hanya boleh dibuat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) namun kos rawatannya terlalu mahal,” ceritanya panjang lebar.

Dia turut meluahkan perasaan terharu apabila Yayasan Misi Rakyat memberikan harapan untuk memberi sinar kepada Muhammad Athif.

Mohd Farhan mengakui mengetahui kejayaan kutipan dana sebanyak RM1.7 juta berjaya dikumpul menerusi Misi Rakyat setakat selepas tiga hari dilancarkan.

"Kami memang tidak dapat hendak balas jasa seluruh rakyat Malaysia. Kami sendiri pun tidak menghalang sangka dalam dua hari ini boleh terkumpul sampai RM1 juta.

“Alhamdulillah sangat. Kami orang biasa, bukan siapa-siapa tapi rakyat Malaysia boleh beri sokongan sampai begini,” ujarnya dengan nada terharu.

Nur Ahmad Faiz (kanan) melawat adik Muhammad Athif ketika mengunjungi rumah Mohd Farhan dan isterinya di Permatang Badak, pada Ahad.
Nur Ahmad Faiz (kanan) melawat adik Muhammad Athif ketika mengunjungi rumah Mohd Farhan dan isterinya di Permatang Badak, pada Ahad.

Sementara itu, Pengasas Yayasan Misi Rakyat, Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi berkata, usaha mengumpulkan dana untuk Athif bukan perkara mustahil dan lebih lagi setelah melihat kejayaan pertama ke atas adik Wan Muhammad Naail atau Naail yang menghidap penyakit sama baru-baru ini.

Beliau mahu masyarakat untuk sekali lagi bersatu dan mengumpul dana RM9 juta agar Muhammad Athif dapat menerima ubat yang diperlukan supaya dapat meneruskan hidup seperti bayi lain.

"RM9 juta sebenarnya bukan jumlah yang banyak dan ini bukan soal duit. Tiada yang lebih besar daripada penyatuan kita sebagai masyarakat.

"Jika sebelum ini, bila ada seruan, rakyat marhaen yang mula-mula bertindak. Mereka yang dalam akaun bank hanya ada RM10, RM5 dia bagi terlalu ramai yang menyumbang RM1.

“Untuk adik (Muhammad) Athif, saya berharap dapat melibatkan semua orang tidak kira tahap mereka, sama ada jutawan, artis atau pempengaruh, supaya semua dapat bersama-sama,” katanya.

Orang ramai yang mahu menyumbang dana menerusi Yayasan Misi Rakyat boleh melayari laman sesawang misirakyat.com atau muat turun aplikasi Misi Rakyat di App Store atau Google Play untuk berbuat demikian.