Wan Junaidi dilantik Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah

Duduk dari kiri: Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, Datuk Muhamad Zamani Mohd Ali; Wan Junaidi; Anwar; Azam Baki dan Md Nasir, manakala berdiri dari kiri: Mohd Shahar; Young Syefura; Su Fui; Mohd Shafizan dan Hassan.
Duduk dari kiri: Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, Datuk Muhamad Zamani Mohd Ali; Wan Junaidi; Anwar; Azam Baki dan Md Nasir, manakala berdiri dari kiri: Mohd Shahar; Young Syefura; Su Fui; Mohd Shafizan dan Hassan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR).

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi kenyataan memaklumkan pelantikan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 9 Oktober lalu hingga 8 Oktober 2026.

Pelantikan tersebut adalah atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaras dengan peruntukan Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Turut dilantik, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah; Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli; Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.

Surat cara pelantikan bagi ahli JKMR tersebut telah diserahkan Anwar dan disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada Selasa.

Secara keseluruhan JKMR terdiri daripada tujuh ahli dan dua daripadanya masih dalam tempoh lantikan iaitu Ahli Dewan Negara, Md Nasir Hashim dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Menurut SPRM, ahli JKMR berperanan untuk menasihati Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek permasalahan rasuah dalam negara.

Selain itu, JKMR juga dikehendaki mendapatkan penjelasan mengenai Laporan Tahunan SPRM serta ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) terhadap perjalanan dan fungsi suruhanjaya ini di bawah Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan:

"Semoga dengan pelantikan ahli JKMR dapat membantu memenuhi harapan masyarakat terhadap kebebasan, kecekapan, keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti suruhanjaya ini dalam penunaian fungsi-fungsinya," kata SPRM.