Maal Hijrah: Wan Junaidi dipilih Tokoh Dakwah Terengganu

Wan Junaidi dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Dakwah di Terengganu pada Rabu.
Wan Junaidi dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Dakwah di Terengganu pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pendakwah bebas, Wan Junaidi Wan Jaafar, 54, dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Dakwah sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu pada Rabu.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan anugerah itu kepada Wan Junaidi di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini.

Wan Junaidi berkata, pengiktirafan tersebut dapat meningkatkan motivasinya dalam menyampaikan ilmu kepada masyarakat.

"Sekarang saya bersiaran dua kali seminggu di radio Terengganu FM dan sekali seminggu di Manis FM untuk membicarakan ilmu Tauhid, Feqah dan Tasawwuf.

"Saya juga memanfaatkan penggunaan media sosial dengan menyiarkan ceramah di masjid-masjid secara siaran langsung di Facebook supaya lebih ramai dapat mengikuti di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di sini pada Rabu.

Pada majlis itu, Wan Junaidi menerima anugerah dan sijil penghargaan, plak serta wang tunai sebanyak RM10,000.

Wan Junaidi memulakan karier sebagai penceramah sejak tahun 2005 di sekitar Terengganu selain merupakan tenaga pengajar kitab Turath bertauliah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Selain itu, Anugerah Tokoh Hafiz diberi kepada Profesor Madya Dr Khairul Anuar Mohamad yang menerima sijil penghargaan, plak dan wang tunai RM6,000.

Anugerah Tokoh Saudara Kita (lelaki) pula diberikan kepada Dr Muhammad Irfan Nyia Abdullah, manakala kategori perempuan diberi kepada Halimahtun Heng Abdullah masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM4,000.

Masjid Seberang Takir, Kuala Nerus pula dinobatkan sebagai Masjid Kerajaan Terbaik dengan membawa pulang RM10,000, manakala Restoran Halal Terbaik dianugerahkan kepada Bayam Enterprise Sdn Bhd (RM3,000).

ARTIKEL BERKAITAN:Maal Hijrah: Sultan Kedah titah jangan bangkit isu gugat perpaduan

Maal Hijrah: Jauhi hasad dengki, amalan fitnah - Agong

Bekas Ketua Pengarah IKIM Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan

Maal Hijrah: Tingkat azam pupuk visi, misi hidup lebih baik

Doa Sultan Nazrin, hijrah bersengketa kepada berdamai

Umat Islam perlu kuasai disiplin ilmu, teroka kejayaan