'Masuk politik bukan untuk kaya, mahu kaya jadi peniaga'

Aliakbar ketika menyampaikan ucapan perbahasan Belanjawan Negeri Sabah 2023 di DUN Sabah Kota Kinabalu.
Aliakbar ketika menyampaikan ucapan perbahasan Belanjawan Negeri Sabah 2023 di DUN Sabah Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Dr Aliakbar Gulasan mengingatkan pemimpin supaya tidak 'dijaga' oleh kontraktor yang menjalankan kerja pembangunan di kawasan masing-masing.

Aliakbar berkata, pemimpin wajib bersifat adil bukan hanya kepada penyokong tetapi juga kepada semua rakyat tanpa mengira agama, bangsa ataupun wilayah tempat mereka tinggal.

"Pembangunan perlu meliputi bukan hanya bandar tetapi juga luar bandar. Jangan ada sebarang penyalahgunaan kuasa, rasuah, duit bawah meja atau apa sahaja yang sama dengannya kerana semuanya mendatangkan dosa dan menarik kemurkaan tuhan.

"Masuk politik bukan matlamatnya untuk menjadi kaya tetapi untuk menyumbang kepada masyarakat dan rakyat. Kalau mahu kaya jadilah peniaga kerana peniaga matlamatnya adalah untuk menjadi kaya.

"Jangan ada pemimpin yang dijaga oleh kontraktor sehinggakan kontraktor yang membuat keputusan untuk sesuatu pembangunan, pembuat polisi dikekalkan di kalangan mereka yang dipilih oleh rakyat kontraktor hanyalah pelaksana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan Belanjawan Negeri Sabah 2024 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Selasa.

Dalam ucapannya, beliau menyentuh empat perkara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan negeri menerusi belanjawan yang dibentang Jumaat lalu.

Aliakbar berkata, antaranya isu setinggan yang menjadi masalah serius dalam sektor perbandaran yang membawa kepada kejadian kecurian elektrik dan air serta berkaitan dengan keselamatan.

Artikel Berkaitan:

"Tujuan perkara ini ditimbulkan adalah bukan untuk merobohkan bangunan setinggan tetapi adalah untuk mengurus agar pembangunan kita lebih terurus dan tersusun.

"Sabah perlu meletakkan sasaran untuk menangani setinggan sifar. Yang lebih malang adalah sebahagian tanah yang diduduki setinggan adalah hak milik kerajaan negeri ataupun milik agensi-agensi kerajaan negeri. Saya beranggapan ini sudah menjadi masalah yang sangat serius," katanya.

Tambah beliau, isu lain yang turut disentuh termasuk elaun imam rawatib dan guru sambilan Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (Kafa) supaya dinaikkan ke tahap gaji minimum.