Batal sijil pelantikan syarikat jika salah guna polis bantuan

Aidi menyampaikan sijil penghargaan kepada polis bantuan
sempena MAPA kali ke-34 2023 pada Selasa.
Aidi menyampaikan sijil penghargaan kepada polis bantuan sempena MAPA kali ke-34 2023 pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran kepada agensi atau syarikat supaya tidak menyalahgunakan polis bantuan untuk mengaut keuntungan kepada syarikat mereka.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Seri Aidi Ismail berkata, pihaknya akan terus membatalkan sijil pelantikan syarikat terbabit jika terdapat aduan berkaitan.

Aidi (tengah) bertemu penerima sijil penghargaan sempena MAPA kali ke-34 2023 pada Selasa.
Aidi (tengah) bertemu penerima sijil penghargaan sempena MAPA kali ke-34 2023 pada Selasa.

Menurut beliau, kelulusan terhadap permohonan syarikat bertujuan menampung keperluan menjaga aset serta keselamatan premis mereka.

"Mungkin ada syarikat keselamatan atau agensi yang tidak mahu memohon tetapi cuba menyewa untuk berkhidmat.

"Kita tidak membenarkan polis bantuan diperdagangkan atau disalahgunakan sebagai pengawal keselamatan kepada syarikat atau agensi yang menyewa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Persidangan Tahunan Persatuan Polis Bantuan Malaysia (MAPA) Kali Ke-34 2023 di sini pada Selasa.

Tambah Aidi, polis bantuan dilatih selama dua bulan di pusat latihan polis bagi membolehkan mereka berkhidmat dengan baik.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau memaklumkan PDRM mempunyai 60,000 perjawatan polis bantuan tetapi jumlah yang dilantik agak kecil iaitu hanya 27,000 yang sudah diluluskan.

Aidi berkata, pihaknya sentiasa mengadakan khidmat nasihat kepada syarikat dan agensi supaya mengisi kekosongan polis bantuan sekali gus dapat diselaraskan mengikut keperluan.

"Sehingga kini, sebanyak 246 agensi polis bantuan seluruh Malaysia dan sebahagian besar sudah menjadi ahli MAPA," katanya.

Mengulas lanjut, jelas Aidi, ada beberapa kes salah laku dalam kalangan polis bantuan membabitkan kes dadah, menyalahguna kenderaan milik syarikat dan menyalahi undang-undang jalan raya.

"Bagaimanapun, jumlahnya sangat kecil dan kita sudah mengambil tindakan kepada anggota berkenaan," katanya.

Pada majlis itu seramai 26 pegawai dan anggota polis bantuan menerima sijil penghargaan.