533 pasangan bawah umur nikah di Kelantan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Sejumlah 533 pasangan bawah umur iaitu lelaki minimum 18 tahun dan perempuan minimum 16 tahun bernikah di negeri ini dalam tempoh empat tahun bermula 2019.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, dalam tempoh 2019 hingga 2023, sebanyak 546 pasangan bawah umur membuat permohonan untuk berkahwin.

"Daripada jumlah itu, 533 permohonan diluluskan, hanya 13 ditolak. Ini satu pencapaian yang baik," katanya pada Persidangan Kali Kedua (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Selasa.

Mohd Asri ketika menjawab soalan di Persidangan DUN Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim pada Selasa.
Mohd Asri ketika menjawab soalan di Persidangan DUN Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Zubir Abu Bakar (Pas - Mengkebang).

Menurutnya, kerajaan negeri mengambil pendekatan wajar sebagaimana peruntukan Seksyen 8 Enakmen Keluarga Islam Kelantan 2002, selaras dengan peruntukan undang-undang dan hukum syarak serta mengambil kira kemaslahatan pasangan bawah umur yang akan berkahwin.

"Kemaslahatan perkahwinan pasangan bawah umur akan dinilai melalui penelitian menyeluruh merangkumi aspek kerelaan pasangan dan kesediaan mendirikan rumah tangga seperti kemampuan, emosi, fizikal, mental, seksual, sosial, spiritual, kesihatan, pendidikan, sekufu dan sebagainya.

“Soal kemampuan juga diambil kira berkait rapat dengan kekuatan sokongan dan persediaan awal oleh ibu bapa, kematangan dalam membuat keputusan dan keupayaan mereka melaksanakan peranan sebagai ibu bapa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Mohd Asri berkata, Mesyuarat Hakim-hakim Syarie sudah membuat keputusan untuk menimbang tatacara prosedur operasi standard yang minimum bagi perkahwinan bawah umur.

“SOP yang minimum atau bersifat lebih memudahkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan khusus untuk negeri ini dengan mengambil kira lokaliti Kelantan yang bersempadanan dengan Thailand.

“Ini bagi mengelakkan berlakunya nikah di negara berkenaan, tanpa kebenaran wali atau akad sendiri,” ujar beliau.

Tambah Mohd Asri, semua permohonan kebenaran berkahwin bawah umur hendaklah mendapatkan kebenaran Mahkamah Syariah terlebih dahulu.

“Perkara ini termaktub dalam Seksyen 8 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan Tahun 2002 iaitu: “Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan bawah enakmen ini jika lelaki berumur kurang 18 tahun atau perempuan berumur kurang 16 tahun, kecuali jika hakim syarie memberi kebenaran secara bertulis dalam keadaan tertentu”.

“Sebelum akad nikah dijalankan, permohonan perlu diangkat kepada Mahkamah Syariah dan hanya hakim syarie yang mempunyai autoriti untuk meluluskan permohonan melalui sesi perbicaraan dalam kamar secara tertutup melibatkan keterangan pemohon bawah umur, ibu bapa pemohon, saksi dan imam setempat atau Penolong Pendaftar Nikah Cerai Rujuk,” kata beliau.


Gesa garis panduan berkait laporan perubatan, sosial dipatuhi

KOTA BHARU - Wakil pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan menggesa kerajaan negeri memastikan pasangan bawah umur yang berhasrat untuk berkahwin mematuhi garis panduan berkait laporan perubatan dan sosial.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim berkata, merujuk kepada kerajaan negeri, perkahwinan bawah umur di Kelantan sebenarnya mengikut garis panduan oleh Jabatan Kehakiman Syariah (JKSM) di peringkat Persekutuan.

Menurut beliau, perkara tersebut perlu diambil perhatian walaupun permohonan perkahwinan bawah umur melibatkan pasangan lelaki minimum berusia 18 tahun dan perempuan minimum berusia 16 tahun di negeri ini dipermudahkan.

“Prosedur yang digariskan oleh JKSM contohnya dari sudut keperluan laporan perubatan daripada Kementerian Kesihatan dan laporan sosial Jabatan Kebajikan Masyarakat perlu dipatuhi.

“Saya bangkitkan kerana dua perkara ini (laporan perubatan dan sosial) tidak saya temui apabila menguruskan atau menangani kes-kes melibatkan pasangan berkahwin bawah umur,” katanya dalam satu hantaran rakaman video kepada pemberita di sini, pada Selasa.

Ujar beliau, pematuhan prosedur laporan perubatan dan sosial itu akan dapat menentukan tahap keberkesanan pasangan dalam aspek pemberian penerangan yang sebenarnya tentang perkahwinan apabila dilakukan di bawah umur.

Menurut Dr Hafidzah, Kelantan tidak menerima cadangan pindaan tahap umur perkahwinan bawah umur sebelum ini dan tidak mahu perkahwinan tersebut berakhir dengan perceraian.

“Kita perlu memastikan semua langkah dipenuhi supaya perkahwinan itu kekal, walaupun kita boleh ‘berjenaka’ tentang perkara ini tetapi hakikatnya kebanyakan perkahwinan bawah umur diiringi dengan tangisan.

“Misalnya, wanita sudah mengandung di luar nikah dalam keadaan lelaki yang tidak bersedia apatah lagi wanita, jadi hal ini perlu ditangani dengan sebaiknya,” kata beliau