Kakitangan agensi kerajaan didakwa guna kedudukan untuk suapan

Norihan (tengah) diiring pegawai SPRM ketika hadir ke mahkamah.
Norihan (tengah) diiring pegawai SPRM ketika hadir ke mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Seorang kakitangan di sebuah agensi kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan dan menggunakan dokumen palsu antara Januari 2020 hingga Disember 2021.

Tertuduh Norihan Salleh, 41 bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pegawai badan awam telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan untuk dirinya apabila membantu dalam mengemukakan sebut harga untuk kerja-kerja pembersihan di Pasar Tani Batu 4, Pasar Tani Springhill, Pasar Tani Giant Lukut, dan Pasar Tani Pasir Panjang bagi tahun 2020 hingga 2022.

Tindakan itu berhubung dengan perkara yang mempunyai kepentingan dengan tertuduh kerana melibatkan syarikat milik saudaranya.

Kesalahan itu dilakukan antara Januari 2020 hingga Disember 2021, di pejabat agensi kerajaan di Port Dickson.

Norihan (tengah) diiring pegawai SPRM ketika hadir ke mahkamah
Norihan (tengah) diiring pegawai SPRM ketika hadir ke mahkamah

Berikutan itu tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh telah menggunakan dokumen sebagai tulen iaitu dokumen sebut harga atas nama beberapa syarikat dan individu bagi kerja-kerja pembersihan di pasar Pasar Tani daerah Port Dickson yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah dokumen palsu.

Berikutan itu tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama.

Sabit kesalahann boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan RM10,000.

Tertuduh yang diwakili peguam R Sivanesan merayu supaya jaminan tertuduh dikurangkan atas alasan tertuduh mempunyai empat anak yang masih bersekolah manakala suaminya hanya bekerja sebagai 'runner'.

Katanya, sepanjang 16 tahun berkhidmat, tiada sebarang kesalahan rasuah yang pernah dilakukan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Port Dickson sekali setiap bulan sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes 12 Januari ini.