Aman Palestin beri tempoh tiga hari kepada SPRM nyah beku akaun

Rafique (tiga dari kiri) ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Amna Palestin pada malam Isnin
Rafique (tiga dari kiri) ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Amna Palestin pada malam Isnin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Aman Palestin Berhad (Aman Palestin)memberi tempoh tiga hari kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyahbekukan akaunnya yang dibekukan sejak 22 November lalu.

Peguam Aman Palestin, Rafique Rashid berkata, sekiranya pihak penguatkuasaan itu gagal berbuat demikian tindakan undang-undang akan diambil.

Menurut Rafique, pihak anak guamnya juga telah menhantar surat kepada Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki supaya notis pembekuan dibatalkan atau diubah.

"Aman Palestin juga menggesa ahli-ahli Parlimen membangkitkan isu ini di Dewan Rakyat sama ada kerajaan atau pun pembangkang. Isu derma atau pun bantuan kepada Palestin adalah isu sejagat.

"Kerajaan mesti menjelaskan mengapa agensi penguatkuasaan di bawah kerajaan sendiri mengambil tindakan membekukan akaun bagi aktiviti-aktiviti kemanusiaan. Hakikatnya rakyat Palestin sedang menunggu bantuan kemanusiaan Aman Palestin.

"Masyarakat Malaysia dan dunia antarabangsa akan kehilangan sebuah NGO yang telah banyak membantu selama 18 tahun dalam bidang kemanusiaan. Sepanjang tempoh tersebut Aman Palestin telah betjaya mengharumkan nama Malaysia di mana dunia dan juga mendapat pengiktirafan serta penghargaan daripada seluruh rakyat Palestin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Aman Palestin di Kajang pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut, Pengerusi Eksekutif Lembaga Pengarah Aman Palestin, Abdullah Zaik Abdul Rahman serta pengurusan tertinggi yang lain.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Rafique berkata, tindakan itu dibuat bagi membolehkan Aman Palestin beroperasi semula dan memfokuskan kepada usaha untuk membantu rakyat di negara tersebut.

SPRM pada Rabu lalu dilapor membekukan sebanyak 41 akaun bank milik Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) dan beberapa entiti syarikat lain.

SPRM dalam satu kenyataannya berkata, tindakan itu diambil ekoran dakwaan pihak terbabit menyalah guna wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober 2023.

Ia susulan siasatan awal telah mengenal pasti beberapa isu melibatkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan.

Kata kenyataan itu, jumlah keseluruhan wang sumbangan orang ramai kepada pihak terlibat adalah sebanyak RM15.86 juta.