Aman Palestin tuntut penjelasan Mufti Perlis, JAIPs

Aman Palestin menuntut penjelasan daripada pihak terlibat yang mensabitkan pertubuhan itu dengan salah laku, rasuah, penipuan, penyelewengan serta penggelapan wang berkaitan kutipan derma di Perlis.
Aman Palestin menuntut penjelasan daripada pihak terlibat yang mensabitkan pertubuhan itu dengan salah laku, rasuah, penipuan, penyelewengan serta penggelapan wang berkaitan kutipan derma di Perlis.
A
A
A

SHAH ALAM - Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) menuntut penjelasan serta bukti daripada pihak terlibat yang mensabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dengan salah laku, rasuah, penipuan, penyelewengan serta penggelapan wang berkaitan kutipan derma di Perlis.

Pertubuhan berkenaan turut meminta penjelasan daripada pihak Jabatan Mufti Perlis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) berkaitan beberapa perkara yang dibangkitkan.

"Adakah surat kebenaran memungut derma khairat dari JAIPs bertarikh 7 Jun 2023 telah terbatal atau dibatalkan dan apakah yang dimaksudkan dengan 'hal-hal yang tidak jelas dan menimbulkan persoalan' berhubung kutipan Tabung Aman Palestin di Perlis.

"Pihak mana yang telah membuat aduan dan meminta kami disiasat berkaitan wang kutipan yang dikumpulkan. Adakah terdapat sebarang laporan polis, laporan kepada Jabatan Mufti, JAIPs atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis mengenai wang kutipan tersebut.

"Adakah Jabatan Mufti Perlis boleh memberi arahan secara tersirat supaya JAIPs melarang Aman Palestin membuat kutipan di premis agama Islam sehingga siasatan selesai," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini JAIPs dilapor telah menarik balik kebenaran kutipan Tabung Aman Palestin di negeri itu berkuat kuasa 12 Oktober lalu sehingga siasatan selesai berdasarkan surat diterima daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Dalam pada itu NGO berkenaan turut menuntut penjelasan daripada pihak berkaitan mengenai status terkini siasatan dijalankan di samping alasan yang membolehkan surat rasmi antara jabatan kerajaan negeri disebarkan kepada portal media sosial PROmediaTAJDID.

Aman Palestin menegaskan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang demi mempertahankan nama baik, kewibawaan dan integriti daripada fitnah dilemparkan.

Artikel Berkaitan:

“Kami sangat kesal dengan perkembangan ini di saat umat Islam dan rakyat Palestin sedang bergelut dengan kekejaman serta serangan harian bertali arus daripada pihak penjajah Israel.

“Ketika semua kakitangan dan pihak pengurusan Aman Palestin di seluruh negara sedang sibuk dan tidak menang tangan menguruskan bantuan kepada rakyat Palestin, NGO ini terpaksa berhadapan dengan fitnah dan tohmahan tidak bertanggungjawab di kampung halaman sendiri.

"Aman Palestin menyeru supaya umat Islam dan penyumbang tidak terpengaruh dengan sebarang percubaan mengelirukan mengenai khidmat serta aktiviti bantuan kemanusiaan, tetap konsisten menghulurkan bantuan secara ikhlas dan yakin,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!