Popularkan kembali Tasik Pedu sebagai destinasi pelancongan

Keindahan Tasik Pedu wajar diketengahkan sebagai destinasi pelancongan utama Kedah.
Keindahan Tasik Pedu wajar diketengahkan sebagai destinasi pelancongan utama Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah disaran untuk membangunkan semula Tasik Pedu agar menjadi destinasi pelancongan terkemuka seperti yang pernah dikecapi suatu masa dahulu.

Mohd Radzi Md Amin (Pedu-Pas) berharap ia dapat dimasukkan dalam belanjawan 2024 berikutan setiap tahun perkara itu dibangkitkan namun sehingga kini tiada tindakan diambil.

“Tasik Pedu merupakan tasik tercantik di Kedah namun setakat ini tiada satu pun program yang boleh tarik pelancong ke situ. Hanya ada sebuah rumah bot dibina, dibandingkan di Tasik Kenyir yang dilakukan pelbagai inisiatif,” katanya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet Kedah 2024 di persidangan DUN Kedah pada Isnin.

Beliau yakin Kedah juga mampu mempopularkan kembali Tasik Pedu dalam kalendar pelancongan negara sekiranya diadakan pelbagai program menarik.

“Kita pun boleh buat sebab kedudukan Tasik Pedu berhampiran lebuh raya Tekih (Trans Eastern Kedah Interland Highway) memudahkan ia dikunjungi pelancong, yang juga menjadi penghubung antara Durian Burung ke Kupang, Baling,” katanya.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada Ahad, memaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan RM3 juta bagi tujuan program dan promosi pelancongan sebagai persediaan menyambut pelancong sempena Tahun Melawat Kedah 2025.

Peruntukkan RM1 juta turut disediakan untuk projek pembangunan, kerja baik pulih dan naik taraf kemudahan pelancongan.

Dalam pada itu, Mohd Radzi menyambut baik keputusan kerajaan negeri meneruskan program bantuan Beras Sejahtera yang diperkenalkan sejak tahun 2020.

Artikel Berkaitan:

“Program ini beri kelegaan kepada masyarakat kurang berkemampuan. Ia membantu keluarga yang kurang pendapatan khususnya rakyat kini berdepan kos sara hidup tinggi. Saya harap program ini diteruskan hingga bila-bila untuk bantu keluarkan golongan fakir kepada kategori miskin,” ujarnya.

Sebelum ini, Sanusi memaklumkan kerajaan negeri meneruskan program berkenaan pada tahun depan, setelah mendengar keluhan rakyat yang sering membangkitkan isu kenaikan harga barang.

Sebanyak RM1.03 juta peruntukan tambahan telah diluluskan menjadikan jumlah keseluruhan RM4.23 juta, untuk menyediakan lebih 84,000 bantuan beras sejahtera sepanjang tahun.