Calon BN-PH bawa Aspirasi Greater Alor Setar

Beberapa pemimpin BN dan PH termasuk Kok Yew (tiga dari kanan) dan Ahmad Bashah (tengah) ketika pelancaran Aspirasi Greater Alor Setar sempena pembukaan rasmi Bilik Gerakan DUN Derga di Taman Seri Ilham pada Isnin.
Beberapa pemimpin BN dan PH termasuk Kok Yew (tiga dari kanan) dan Ahmad Bashah (tengah) ketika pelancaran Aspirasi Greater Alor Setar sempena pembukaan rasmi Bilik Gerakan DUN Derga di Taman Seri Ilham pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kedah yang bertanding dalam daerah Kota Setar mengumumkan Aspirasi Greater Alor Setar sebagai sebahagian daripada Manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) mereka di negeri ini.

Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew berkata, Aspirasi Greater Alor Setar atau Alor Setar Agung adalah sebuah aspirasi untuk menjadikan Alor Setar sebagai pusat tumpuan kestabilan tadbir urus dan penentu pembangunan lestari kepada keseluruhan Kedah.

Kok Yew yang juga calon PH Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga berkata, Kedah memiliki potensi fenomenal untuk menjadi sebuah ekonomi kelas dunia sangat hebat dengan kedudukannya yang strategik berhampiran Pulau Pinang dan Thailand, disertai dengan kekayaan sumber alam yang sukar ditandingi negeri-negeri lain.

"Jadi, Alor Setar sebagai ibu negeri Kedah selain menjadi pusat kuasa politik harus menjadi jantung dan pusat kepada pemacuan ekonomi negeri dan hab bagi seni, budaya, sejarah dan artisan dan pengamal.

"Selain itu, kawasan ini perlu menjadi inkubator bakat dalam jurusan akademik mahupun vokasional dan teknikal serta pemacu dan pemecut teknologi dalam semua bidang dari pertanian hingga ke tenaga diperbaharui," katanya.

Beliau berkata sedemikian pada pelancaran Aspirasi Greater Alor Setar sempena pembukaan rasmi Bilik Gerakan DUN Derga di Taman Seri Ilham di sini pada Isnin.

Hadir sama, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; calon PH Suka Menanti, Datuk Zamri Yusuf; calon BN Bukit Lada, Datuk Said Ali Syed Rastan dan calon PH Kota Darul Aman, Teh Swee Leong.

Justeru kata beliau, sembilan kawasan DUN bertanding dalam daerah Kota Setar iaitu Parlimen Alor Setar, Kuala Kedah dan Pokok Sena tekad bersatu hati di bawah payung Kerajaan Perpaduan, malah sedar dan yakin bahawa perubahan Kedah perlu bermula dari pusat punca kuasanya.

Beliau menambah, tiga kerangka utama Aspirasi Greater Alor Setar termasuklah merakyatkan industri pelancongan dan Penjenamaan Semula Sosial dan Budaya, pembangunan dan pengurusan ekonomi yang progresif serta kualiti hidup di bandar.

"Kesimpulan, projek bernilai RM34 juta diumumkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebelum ini merupakan titik mula kepada usaha sama yang lebih besar untuk Greater Alor Setar.

"Manfaatnya dinikmati oleh warga Bandaraya Alor Setar untuk menjalani kehidupan bandar dengan lebih bersih, teratur dan selamat," katanya.

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata, BN dan PH memiliki harapan untuk membawa perubahan di Kedah sekiranya rakyat memilih gabungan itu untuk mengambil alih Kedah pada 12 Ogos nanti.

"Disebabkan itu, ini adalah persiapan-persiapan yang telah kita rancang dikenali Aspirasi Greater Alor Setar untuk tiga parlimen iaitu Alor Setar, Kuala Kedah dan Pokok Sena dalam Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

"Kita hendak lakukan perubahan dan itu janji kita kepada rakyat secara keseluruhannya dan bukannya di Alor Setar sahaja," katanya.

Menurut Ahmad Bashah, gabungan BN dan PH di Kedah memiliki pelbagai perancangan dan projek ntuk rakyat Kedah, namun ia dikhuatiri tidak dapat dilaksanakan sekiranya tidak diberi mandat.

"Kali ini, BN dan juga PH di Kedah kita ada keluarkan satu manifesto dan janji kita. Janji kita ini kita bukan tipu tetapi ia akan ditepati merangkumi keseluruhan aspek dari pembangunan, perumahan dan sebagainya," katanya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!