AirAsia tambah 5.2 juta tempat duduk dari China, India

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SYARIKAT tambang murah, AirAsia mengumumkan 230 penerbangan mingguan antara China-Malaysia and India-Malaysia mingguan dengan 5.2 juta tempat duduk.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes berkata, penerbangan itu bermula pada suku pertama tahun depan sebagai sokongan kepada jangkaan lonjakan permintaan perjalanan.

Ia berikutan pengumuman kerajaan mengenai kemasukan tanpa visa selama 30 hari untuk pelancong dari China dan India ke Malaysia bermula 1 Disember depan.

"Pengumuman itu adalah yang dinanti-nantikan bukan sahaja untuk AirAsia tetapi untuk rakyat di seluruh negara," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kemasukan 30 hari tanpa visa untuk warga China dan India pasti akan memberi rangsangan kepada sektor pelancongan dan ekonomi di Malaysia menjelang musim kemuncak perjalanan akan datang sambil meningkatkan hubungan ekonomi antara negara besar itu.

"Sebagai antara pemain utama dalam sektor penerbangan, kami bersedia untuk menambah kapasiti bagi menyokong permintaan perjalanan udara yang berpatutan untuk semua di rantau ini.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk inisiatif yang memfokuskan kepada rancangan masa hadapan negara," katanya.

Pada Ahad, Anwar mengumumkan kerajaan memberikan pengecualian visa selama 30 hari untuk rakyat China dan India ke Malaysia ini dalam semangat 'strategic partnership' hubungan dua hala Malaysia-China yang menjangkau 50 tahun, tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Ia adalah tambahan kemudahan pengecualian visa sedia ada yang kini dinikmati rakyat dari negara teluk dan lain-lain negara di Asia Barat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!