Malaysia beri pengecualian visa 30 hari kepada rakyat China, India

Anwar menyampaikan ucapan penggulungan dan penangguhan pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 di PICC, Putrajaya.
Anwar menyampaikan ucapan penggulungan dan penangguhan pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 di PICC, Putrajaya.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersetuju untuk memberikan pengecualian visa kepada rakyat China dan India yang berkunjung ke Malaysia selama 30 hari bermula 1 Disember ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengecualian itu dibuat selari dengan perkongsian strategik yang terjalin antara kedua-dua negara.

"Pengecualian ini tentunya tertakluk kepada tapisan keselamatan. Tapisan awal yang dibuat bagi semua pelancong atau pelawat ke negara Malaysia kerana soal keselamatan perkara berasingan.

"Ada rekod jenayah atau pun risiko keganasan, maka visa tidak akan dibenarkan.

"Ini wewenang pasukan keselamatan termasuk imigresen. Kemudahan lain akan ditambah dengan pengumuman oleh Menteri Dalam Negeri, esok mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Ucapan Dasar Presiden sempena Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, pengumuman itu juga lanjutan daripada inisiatif China memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia melancong ke negaranya tanpa visa selama 15 hari.

"Setakat ini, pelancong paling tinggi ke Malaysia ialah Singapura dan Indonesia dari ASEAN tetapi kalau kawasan luar ASEAN ialah China.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, potensi pelancongan itu sangat besar," katanya.

Tambahnya, pengecualian visa itu juga lanjutan kemudahan yang turut diberikan kepada Negara Teluk seperti Arab Saudi, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Turki, Jordan dan beberapa negara ASEAN lain.