Tulisan jawi: Persatuan Cina gesa KPM berdialog

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KAJANG - Beberapa persatuan Cina menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengadakan dialog bersama Pertubuhan Pendidikan Cina dalam masa terdekat berkaitan isu pelaksanaan tulisan jawi di sekolah jenis kebangsaan (SJK).

Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Ng Chai Heng berkata, dialog itu perlu dalam usaha menyelesaikan isu tersebut tanpa sebarang konfrontasi.

Pihaknya tidak berhasrat untuk mengadakan persidangan lain, sebaliknya memberitahu mahu mengadakan dialog bersama menteri dan parti politik bagi mencari jalan penyelesaian dalam isu berkenaan.

“Kita menyeru KPM mengadakan dialog bersama Pertubuhan Pendidikan Cina dalam masa yang terdekat untuk menyelesaikan isu pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi di SJK.

“Bukan saja KPM, kita mahu juga berdialog dengan parti politik dari Pakatan Harapan (PH) mahupun dari pihak pembangkang.

“Kita berpendapat isu itu boleh diselesaikan secara dialog, bukan dengan konfrontasi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, sebanyak 17 persatuan Cina mengadakan mesyuarat di Kajang semalam susulan pembatalan Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina dan bersetuju untuk menyuarakan beberapa perkara berbangkit.

“Kami menyeru kerajaan prihatin terhadap pandangan masyarakat Cina dan India supaya pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran tulisan jawi dibatalkan dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 di SJK.

Artikel Berkaitan:

“Sekolah harus memupuk semangat kepelbagaian budaya, maka kami setuju dengan kaedah interaksi budaya yang memperkenalkan seni tulisan pelbagai kaum, termasuk seni tulisan jawi, Cina, Tamil dan suku kaum lain.

“Dalam konteks ini, KPM boleh merujuk kepada buku teks Bahasa Melayu SJK Tahun 5 yang memperkenalkan seni tulisan pelbagai kaum,” katanya.

Selain dialog bersama KPM, semua persatuan itu turut bertegas dengan pendirian untuk mempertahankan hak dan kuasa Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dalam pengurusan sekolah.