Pusat hiburan diserbu, 38 GRO ditahan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan 38 pelayan pelanggan (GRO) warga asing dalam Operasi Noda di sebuah pusat hiburan tidak berlesen di Jalan Perak Kuala Lumpur.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur yang diketuai Pegawai Turus Bahagian D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Ana Mohamed kira-kira jam 12.15 tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, hasil serbuan, pihaknya menahan 38 GRO warga asing berusia antara 19 hingga 30 tahun dan enam lelaki yang bekerja di premis berkenaan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 18 wanita warga Ukraine, 11 wanita warga Russia, tiga wanita warga Kazakhstan, tiga wanita warga Belarus serta masing-masing seorang wanita dari Jerman, Britain dan Thailand.

“Seorang lelaki tempatan yang dipercayai pengurus, seorang lelaki warga Iran dan empat lelaki Bangladesh bekerja di premis itu turut ditahan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rusdi berkata, semua individu yang ditahan akan direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992 dan Seksyen 55B serta Seksyen 39 (b) Akta Imigresen 1959/63.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan tidak bermoral boleh hubungi Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999,” katanya.

Artikel Berkaitan: