Kaji selidik Merdeka Center tidak ada dapatan 'earth-shattering' - Rafizi

Rafizi (duduk tengah) pada sidang media berhubung Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) Putrajaya, pada Sabtu. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor
Rafizi (duduk tengah) pada sidang media berhubung Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) Putrajaya, pada Sabtu. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] "Saya tidak merasakan bahawa kaji selidik Merdeka Center itu ada dapatan yang 'earth-shattering' (terlalu penting) melibatkan Kerajaan Perpaduan kepada rakyat," kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

Ujar beliau, apabila sesuatu kerajaan yang mengambil alih telah mencapai tempoh pertengahan, popularitinya mesti akan jatuh, sama seperti pimpinan di Amerika Syarikat (AS).

"Pada bacaan saya, melihat dapatan daripada kaji selidik Merdeka Center tersebut, sebenarnya penilaian kelulusan (Datuk Seri Anwar Ibrahim) itu adalah lebih baik daripada Perdana Menteri sebelum ini selepas setahun mereka menjadi Perdana Menteri.

"Untuk menilai suasana sebenar, kita kena membandingkan pola sokongan itu dengan Perdana Menteri lain sebelum ini.

"Kita ada tiga Perdana Menteri selepas Datuk Seri Najib Razak, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kemudian Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam sidang media selepas merasmikan Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 yang berlangsung pada Sabtu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.

Pada Rabu, Kaji selidik Merdeka Center mendedahkan kadar penilaian kelulusan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri merosot kepada 50 peratus.

Hasil kajian tersebut turut mendapati sehingga Oktober lalu, sebanyak 48 peratus responden tidak berpuas hati dengan prestasi Anwar dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Artikel Berkaitan:

Menurut Rafizi, pihaknya juga mempunyai bacaan data daripada kaji selidik yang dilakukan oleh parti bagi menilai prestasi populariti Kerajaan Perpaduan.

"Kaji selidik inilah yang membimbing PKR daripada 2016 sehinggalah kami membentuk kerajaan sekarang, ia menunjukkan bahawa keadaannya status quo.

"Pada pandangan kami, Kerajaan Perpaduan dibawah pimpinan Anwar berada pada keadaan paling stabil ketika ini kerana politik dalamannya stabil dan sokongan rakyat itu status quo, walaupun naik sedikit dalam satu atau dua peratus sahaja.

"Melangkah ke hadapan, melihat semua elemen, Kerajaan Perpaduan adalah kukuh, sokongan orang ramai dan penilaian kelulusan meningkat," ujarnya.