Hanya satu panggilan telefon, guru rugi lebih RM300,000

Mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar daripada pihak Pos Laju Malaysia mengatakan terdapat satu bungkusan yang dihantar atas namanya. - Gambar hiasan, gambar kecil: Yahaya Othman
Mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar daripada pihak Pos Laju Malaysia mengatakan terdapat satu bungkusan yang dihantar atas namanya. - Gambar hiasan, gambar kecil: Yahaya Othman
A
A
A

KUANTAN - Seorang guru wanita mengalami kerugian RM362,399 selepas diperdaya dengan sindiket 'phone scam' yang menyamar sebagai pihak Pos Laju dan polis.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang telah menerima laporan dari Daerah Cameron Highlands berkenaan kejadian terbabit.

Menurutnya, pada Oktober lalu, mangsa yang berusia 34 tahun itu telah terima panggilan daripada individu menyamar daripada pihak Pos Laju Malaysia mengatakan terdapat satu bungkusan yang dihantar atas nama mangsa.

"Bungkusan itu mengandungi dokumen penting seperti Mykad, kad kredit dan buku cek bank.

"Bungkusan tersebut telah ditahan oleh pihak Pos Laju dan talian mangsa disambungkan kepada pihak polis IPK Pulau Pinang serta Bukit Aman kerana disyaki terlibat dengan kes penggubahan wang haram serta penyeludupan dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Yahaya, mangsa diberitahu akan dibantu dalam rayuan kes dan kemudiannya telah diarahkan untuk membuat pindahan wang bagi tujuan siasatan.

Jelas beliau lagi, mangsa juga diminta membuat pinjaman bank dan maklumat perbankan tersebut perlu diserahkan bagi tujuan siasatan.

"Mangsa kemudiannya turut diarahkan membuat pindahan wang simpanan lain secara berperingkat ke akaun suspek bagi bayaran mahkamah, Bank Negara Malaysia serta audit.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah wang yang telah dipindahkan ke suspek dianggarkan RM362,399. Mangsa cuba hubungi individu terbabit semula tapi gagal," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bag mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.