Penduduk rayu pembalakan Hutan Simpan Kekal Gunung Bubu tidak diteruskan

Berhanudin (kanan) mendengar aduan dan pandangan penduduk berhubung isu berkenaan di Dewan Komuniti Changkat Manong di sini pada Jumaat. (Gambar kecil: Sanadi (kiri), Mohd Nizam)
Berhanudin (kanan) mendengar aduan dan pandangan penduduk berhubung isu berkenaan di Dewan Komuniti Changkat Manong di sini pada Jumaat. (Gambar kecil: Sanadi (kiri), Mohd Nizam)
A
A
A

KUALA KANGSAR - Penduduk sebahagian kampung di Mukim Senggang, Manong di sini merayu kepada kerajaan negeri untuk mempertimbangkan semula keputusan nyahwarta kawasan seluas kira-kira 400 hektar Hutan Simpan Kekal Gunung Bubu kerana dibimbangi memberi kesan alam sekitar kepada mereka.

Wakil penduduk, Sanadi Haris, 60, berkata, penduduk mendapat maklumat bahawa sebahagian kawasan hutan simpan itu diberikan kebenaran untuk tujuan pembalakan secara tebang habis yang dikhuatiri akan menyebabkan penduduk berdepan banjir kerana kedudukannya kira-kira dua kilometer dengan kediaman penduduk.

Dia yang tinggal di Kampung Piol menjelaskan, penebangan hutan yang akan dilakukan kelak bakal memberi kesan kepada penduduk di sekurang-kurangnya empat kampung di dalam mukim berkenaan iaitu Lempor, Guar, Suak Petai dan Ulu Piol.

"Kami tak nak banjir besar seperti yang berlaku di tempat-tempat lain akibat pembalakan ini terjadi di sini. Sebelum ini pun dah banjir bila hujan lebat. Takut selepas ini banjir lumpur pula.

"Apa manfaat kepada penduduk pun kita tak nampak dengan pembalakan ini. Kalau pembangunan tak boleh nak dibawa masuk ke Manong ini, janganlah hasil kami ini pula dibawa ke tempat lain. Akhirnya kami pula yang terima padah," katanya yang juga bekas kakitangan Jabatan Perhutanan Perak kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Komuniti Changkat Manong, di sini pada Jumaat.

Bagi penduduk Kampung Suak Petai, Mohd Nizam Mohd Lutffee, 47, pula berkata, kebanyakan penduduk bimbang jika penebangan hutan dijalankan akan menyebabkan konflik haiwan liar dengan manusia.

Menurutnya, hutan simpan tersebut mempunyai pelbagai hidupan liar dan jika tempat tinggal mereka diganggu, haiwan liar akan masuk ke kawasan penduduk.

"Kita amat berharap agar kerajaan negeri mempertimbangkan semula keputusan membenarkan pembalakan di hutan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kami sangat bimbang akan kesan yang bakal dihadapi dalam jangka masa panjang. Bukan sahaja merugikan penduduk tempatan tetapi juga kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu, Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman memaklumkan, berdasarkan semakan dibuat mendapati hanya 266.7 hektar daripada 404.6 hektar yang diluluskan untuk dinyahwarta dibenarkan oleh Jabatan Perhutanan bagi mengeluarkan hasil secara tebang habis.

Meor Razak menunjukkan lokasi kawasan Hutan Simpan Kekal Gunung Bubu yang telah dinyahwarta yang sebahagian hutan berkenaan akan ditebang ketika sidang akhbar di Dewan Komuniti Changkat Manong di sini pada Jumaat.
Meor Razak menunjukkan lokasi kawasan Hutan Simpan Kekal Gunung Bubu yang telah dinyahwarta yang sebahagian hutan berkenaan akan ditebang ketika sidang akhbar di Dewan Komuniti Changkat Manong di sini pada Jumaat.



Bagaimanapun katanya, pihak SAM membantah tindakan tersebut kerana ia akan memberi kesan kepada anak-anak sungai berhampiran yang merupakan sumber air untuk Sungai Perak.

Katanya, langkah kerajaan negeri meluluskan nyahwarta sebahagian hutan simpan dibimbangkan akan memberi kesan jangka panjang kepada sumber air utama negeri ini tambahan pula sudah ada perancangan untuk menjual air terawat kepada Pulau Pinang.

"Kita mengharapkan kerajaan negeri memperhalusi semula keputusan itu walau apa juga alasan yang diberikan kerana ia akan memberi kesan kepada penduduk dan juga sumber air.

"Langkah perlu diambil untuk mewartakan semula kawasan tersebut sebagai hutan simpanan kekal bagi memastikan sumber air terjamin," katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong, Berhanudin Ahmad yang ditemui pemberita memaklumkan perkara itu akan dibawa ke pengetahuan pihak berkuasa negeri untuk diambil tindakan.

Menurutnya, pertemuan juga akan diadakan bersama anak syarikat kerajaan negeri yang terlibat, Jabatan Perhutanan Perak dan agensi berkaitan yang lain untuk mendapatkan maklum balas.

Jelasnya, segala aduan dan pandangan penduduk berhubung isu berkenaan akan diteliti termasuk daripada badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar yang prihatin dengan perkara tersebut.