LKAN 2022: Jangan persenda, teliti sistem pemantauan teknologi

Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Nurhayati Nordin
Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Nurhayati Nordin
A
A
A

SHAH ALAM - Kegagalan pelaksanaan enam program termasuk pengurusan dan kawal selia senjata api di bawah Kementerian Dalam Negeri seperti yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 tidak sepatutnya dipersenda atau dijadikan bahan lawak.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, ia perlu diambil serius kerana melibatkan soal ancaman dan keselamatan negara.

Menurutnya, kerajaan perlu meneliti semula dan menambahbaik sistem pemantauan daripada sudut teknologi bagi mengelakkan isu kehilangan rekod data senjata berlaku.

“Saya percaya setiap kali laporan dikemukakan ia bukan kali pertama berlaku. Ini bermakna, jika mahu mengambil tindakan, pihak berwajib perlu tahu di manakah punca yang menyebabkan kelompongan dan akhirnya mendatangkan kerugian serta ancaman kepada negara.

“Dalam konteks senjata api, ia melibatkan pihak iaitu kementerian, polis dan pembekal. Jadi, kita juga perlu melihat bagaimana mahu melaksanakan satu sistem pengawasan bagi inventori senjata termasuk laporan catatan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

LKAN 2022 pada Rabu mendedahkan sejumlah RM681.71 juta dana awam direkodkan hilang serta rugi berikutan kegagalan pelaksanaan enam program.

Antara kerugian tertinggi yang terpaksa ditanggung negara ialah kegagalan pengurusan program penanaman padi iaitu RM660.14 juta, pengurusan pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (RM14.33 juta) serta pengurusan dan kawal selia senjata api jabatan dan agensi di bawah KDN (RM6.34 juta).

Tambah Nurhayati, tindakan tegas juga perlu diambil terhadap pegawai yang gagal menjalankan bertanggungjawab bagi memastikan perjanjian kontrak tersebut ditepati.

Artikel Berkaitan:

“Jika kita teliti kepada laporan dan kontrak berkenaan bukan baharu, sudah 10 tahun daripada 2012 hingga keluar laporan audit 2022. Diharapkan perkara berkenaan dapat diteliti semula pihak terbabit.

“Apa yang penting ialah memastikan prosedur dan kecekapan pegawai dititikberatkan supaya kejadian seumpama ini tidak terjadi lagi,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!