LKAN: Lebih RM681 juta dana awam hilang

Menerusi LKAN, kerugian tertinggi yang terpaksa ditanggung negara dicatatkan menerusi kegagalan pengurusan program penanaman padi iaitu RM660.14 juta dana awam yang dibazirkan. - Gambar hiasan Bernama
Menerusi LKAN, kerugian tertinggi yang terpaksa ditanggung negara dicatatkan menerusi kegagalan pengurusan program penanaman padi iaitu RM660.14 juta dana awam yang dibazirkan. - Gambar hiasan Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 mendedahkan sejumlah RM681.71 juta dana awam direkodkan hilang serta rugi berikutan kegagalan pelaksanaan enam program.

Menerusi LKAN yang dikeluarkan pada Rabu, kerugian tertinggi yang terpaksa ditanggung negara dicatatkan menerusi kegagalan pengurusan program penanaman padi iaitu RM660.14 juta dana awam yang dibazirkan.

Ia disusuli oleh kegagalan pengurusan pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (RM14.33 juta), kegagalan pengurusan dan kawal selia senjata api jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (RM6.34 juta).

Selain itu kegagalan pengurusan program pemuliharaan kawasan perlindungan marin merekodkan kerugian (RM0.49 juta), program galakan pelaburan bagi sektor perkilangan (RM0.29 juta) dan pengurusan program bandar selamat (RM0.12 juta).

Kegagalan itu antaranya berkaitan pemberian pengecualian denda yang dikenakan ke atas kelewatan pembekalan dan penghantaran baja, penyaluran subsidi dan insentif pesawah tidak optimum selain gagal mengutip hasil pajakan tanah serta perolehan secara penggantian pelupusan senjata api tidak dibekalkan sepenuhnya.

LKAN turut mendedahkan RM21.35 juta telah dibazirkan menerusi tiga pengurusan.

Ia melibatkan kerugian RM19.39 juta oleh pengurusan pekerja asing melalui Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) & Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS), pembaziran dalam pengurusan program pemuliharaan kawasan perlindungan marin (RM1.04 juta) dan pengurusan program memperkasakan kapasiti, kebolehan dan daya saing industri pembinaan (RM0.92 juta).

Antara kes yang dibangkitkan adalah berkaitan sistem yang tidak digunakan secara optimum di mana 11 daripada 14 modul sistem ePPAx tidak digunakan dalam proses pengurusan pekerja asing, projek pangkalan hadapan yang siap pada tahun 2020 tidak dapat digunakan dan peralatan kelengkapan latihan (ACMV Industrial) tidak digunakan sejak diterima pada tahun 2018.

Artikel Berkaitan:

LKAN juga mengesan dua pengurusan program yang membuat bayaran tidak teratur melibatkan dana RM1.52 juta di dalam Program Podium Sukan Elit (RM1.04 juta) dan pengurusan program memperkasakan kapasiti, kebolehan dan daya saing industri pembinaan (RM0.92 juta).

Perkara yang berbangkit adalah berkaitan perbelanjaan di luar skop kelulusan dan tajaan program dibuat kepada peserta yang tidak memenuhi syarat.