Ranjau berduri laksana generasi penamat merokok

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

USAHA untuk mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan rakyat negara ini perlu disokong semua pihak.

Ini kerana sudah terbukti rokok bukan sahaja membahayakan kesihatan, malah menyebabkan kerugian besar kepada negara dari segi perbelanjaan kesihatan.

Bagaimanapun, usaha yang mahu dilakukan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau lebih dikenali sebagai Generasi Penamat (GEG) mendapat halangan.

Sudah tentu ada segelintir pihak tidak mahu kerajaan melaksanakan GEG kerana industri rokok dan vape mempunyai nilai begitu tinggi.

Nilai runcit industri vape atau rokok elektronik Malaysia sahaja berkembang secara mendadak sebanyak 53 peratus daripada RM2.27 bilion pada 2019 kepada anggaran RM3.48 bilion tahun ini.

Namun semalam, Pejabat Peguam Negara menegaskan peruntukan berkenaan GEG rupa-rupanya boleh dicabar di mahkamah.

Menurut Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, peruntukan tersebut bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Ia memandangkan peruntukan itu mewujudkan layanan undang-undang yang tidak sama rata antara seseorang yang dilahirkan sebelum 1 Januari 2007 dan seseorang yang dilahirkan pada dan selepas tarikh sama.

Artikel Berkaitan:

Walaupun demikian, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menyatakan komitmen akan membentangkan RUU tersebut di Parlimen dalam tempoh terdekat.

Beliau memberi jaminan bacaan kali kedua RUU itu akan dibentangkan sebelum berakhirnya sidang Parlimen yang sedang berlangsung, pada 30 November ini.

Ketika ini hanya New Zealand yang berjaya melaksanakan inisiatif tersebut tetapi ia hanya akan bermula dalam tempoh empat tahun lagi dan hanya remaja berusia 19 tahun ke atas dibenarkan membeli rokok.

Sementara itu, Britain juga berhasrat melakukan perkara sama dan menyasarkan untuk menghentikan penjualan produk tembakau menjelang tahun 2030.

Negara itu berhasrat untuk menetapkan remaja berusia 14 tahun tidak dibenarkan membeli rokok. Ketika ini Britain membenarkan mereka yang berusia 18 tahun untuk berbuat demikian.

Justeru, rakyat Malaysia teruslah berikan sokongan agar GEG akan dapat dilaksanakan.