Kawal selia platform digital perlu ambil kira aktiviti cybertrooper

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) mencadangkan supaya aktiviti cybertrooper atau tentera siber diselitkan ke dalam rangka kerja kawal selia platform digital bagi mengekang kegiatan jenayah siber.

Presiden MCCA, Siraj Jalil berkata, cybertrooper yang digunakan pihak-pihak tertentu menjadi alat menyebarkan berita palsu dan propaganda selain untuk membunuh karakter individu tertentu serta menjatuhkan pesaing dengan kaedah ancaman.

"Cybertrooper ini sebenarnya satu aktiviti jenayah siber, mereka berfungsi dalam satu sistem yang tersusun, namun kita tidak mempunyai kaedah khusus bagi menanganinya malah sekadar bersandar kepada Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia selain Akta Jenayah Komputer sekiranya melibatkan elemen godam.

"Itu tidak cukup, kelompok ini semakin bertambah, berkembang di dalam negara malah berlindung di sebalik IP address (Alamat Protokol Internet) di luar negara dengan tidak sahaja tertumpu pada hal politik, malah digunakan dalam sektor korporat," katanya kepada Bernama.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan pada Selasa menyatakan Malaysia mempertimbangkan untuk mengguna pakai rangka kerja kawal selia platform digital sebagaimana yang dilaksanakan di Australia dan Kanada.

Kenyataan itu menyebut Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan MCMC telah berbincang dengan platform dalam talian utama seperti Meta dan Google bagi mewujudkan rangka kerja pelesenan dan kawal selia dalam menangani cabaran pasaran digital antaranya ketidakseimbangan dalam Perbelanjaan Pengiklanan (ADEX) antara platform digital dan media tempatan bagi memastikan pampasan yang adil untuk pencipta kandungan berita.

Sementara itu, penganalisis keselamatan dan politik D, Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, pelaksanaan rangka kerja kawal selia platform digital penting bagi memastikan keselamatan negara terjamin selain memastikan industri media di Malaysia terus berkembang dengan baik.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, ia termasuklah memastikan syarikat-syarikat di dalam industri media di negara ini menerima pulangan sewajarnya dalam konteks pengiklanan.

Artikel Berkaitan:

"Ia penting untuk memastikan survival media dalam aspek ekonomi, komunikasi dan perang saraf dalam konteks pengiklanan kerana mereka (kini) kehilangan pendapatan kerana dimonopoli syarikat gergasi dalam talian.

"Lambat laun industri media mungkin akan mengecil dan ada potensi syarikat global luar mula mempunyai pemilikan media dalam negara. Ini berbahaya kepada keselamatan negara kerana mengikut konteks, komposisi pembudayaan sejarah, tamadun dan peradaban sesebuah negara itu amat berlainan dengan yang lain," katanya.

Nirwandy berkata, atas dasar itu, media dalam negara perlu dipastikan terus dengan pemilikan tempatan sekali gus memastikan persekitaran media itu sesuai dengan budaya dan tradisi masyarakat Malaysia. - Bernama