Berani Semuka kecoh isu pempengaruh ditangkap kritik kerajaan

Sesi Berani Semuka pada Rabu bertukar kecoh apabila Afnan Hamimi (kanan) membangkitkan isu seorang wanita yang juga pempengaruh media sosial ditangkap kerana mengkritik pentadbiran Kerajaan Perpaduan. - Foto SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Sesi Berani Semuka pada Rabu bertukar kecoh apabila Afnan Hamimi (kanan) membangkitkan isu seorang wanita yang juga pempengaruh media sosial ditangkap kerana mengkritik pentadbiran Kerajaan Perpaduan. - Foto SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - Sesi Berani Semuka pada Rabu bertukar kecoh apabila Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden membangkitkan isu seorang wanita yang juga pempengaruh media sosial telah ditangkap kerana mengkritik pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Afnan Hamimi ketika dalam sesi penggulungan itu berkata, wanita tersebut tidak sepatutnya ditahan di rumahnya pada waktu malam kerana kesalahan yang dilakukan itu tidak serius seperti jenayah berat.

Bagaimanapun, kenyataan itu membangkitkan kemarahan kumpulan penyokong Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Hasbie Muda yang berada di Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf bagi menyaksikan program Berani Semuka itu.

“Kenapa nak ditakutkan orang sampai tahap macam itu? Dia bukan buat kesalahan jenayah besar pun.

“Dia bukan mencuri atau membunuh orang pun, dia hanya bagi komen. Takkan bila bercakap, tidak diberikan ruang bercakap dan ditakutkan dengan polis?” soalnya ketika dalam Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf.

Sebahagian kumpulan penyokong berkenaan membalas kenyataan Afnan Hamimi dengan menyifatkan tindakan yang dilakukan pempengaruh tersebut sebagai perbuatan memfitnah.

Afnan Hamimi kemudiannya menjawab bahawa beliau juga tidak bertolak ansur dengan sebarang perbuatan fitnah sekiranya terdapat bukti bahawa pempengaruh itu berbuat demikian.

“Saya setuju yang fitnah tidak boleh (dibiarkan) dan saya pun tidak pernah memfitnah orang.

Artikel Berkaitan:

“Yang benar kita kata benar, yang salah kita kata salah. Itu prinsip yang kita setujui bersama,” jelasnya.