Jawatankuasa khas kendurkan kebimbangan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MAHKAMAH Persekutuan pada Isnin lalu menangguhkan keputusan pendengaran petisyen seorang peguam dan anaknya yang memohon 18 peruntukan kesalahan jenayah di dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Tuan Maimun Tuan Mat memaklumkan, keputusan tersebut selepas mendengar hujahan daripada peguam-peguam pemerhati dan sahabat mahkamah atau Amicus Curiae.

Kes tersebut menarik perhatian rakyat Malaysia, khususnya umat Islam yang khuatir Mahkamah Syariah tiada kuasa, sehingga ribuan orang ramai berhimpun menunggu keputusan di hadapan Mahkamah Persekutuan, Putrajaya dan melakukan solat hajat berjemaah.

Bagaimanapun, Tengku Maimun sudah menjelaskan bahawa isu dalam pendengaran petisyen itu bukan melemahkan agama Islam dan Mahkamah Syariah, tetapi berhubung kompetensi kerajaan negeri dalam menggubal undang-undang.

Katanya, kenyataan bahawa Mahkamah Syariah akan berkubur di Malaysia adalah tidak betul kerana pendengaran hanya bertujuan mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, bukan merendah-rendahkan enakmen dan Mahkamah Syariah.

Justeru, tindakan kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas yang diperakui Majlis Raja-Raja bagi mengangkat martabat Mahkamah Syariah merupakan langkah tepat, sekali gus mengendurkan kebimbangan orang ramai.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jawatankuasa yang dipengerusikan seorang bekas ketua hakim itu akan meneliti dan berbincang dengan mufti serta semua pihak berkaitan bagi mendapatkan pandangan supaya ada peraturan yang boleh dilaksanakan dalam meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Malah, Majlis Raja-Raja juga berminat dan memberi perkenan supaya jawatankuasa itu melakukan kajian dalam meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah terhadap umat Islam, pada masa sama tidak memberi kesan ke atas golongan bukan Islam.

Artikel Berkaitan:

Diharapkan penubuhan jawatankuasa ini akan menutup segala tanggapan salah terhadap kes prosiding petisyen tersebut. Ini penting supaya tiada lagi pihak membuat kenyataan sensitif secara terbuka berhubung enakmen dan Mahkamah Syariah.

Biarlah jawatankuasa khas ini nanti yang meneliti dan membuat cadangan kepada Majlis Raja-Raja, dalam masa sama semua pihak perlu berhenti mempolitikkan isu berkenaan.