'Hendak masuk syurga solusi masalah rasuah'

Hussamuddin menyampaikan ucapan sempena Sambutan Hari Integriti Jabatan Kastam Diraja Malaysia 2023, di Dewan Semarak Jati di sini pada Selasa. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Hussamuddin menyampaikan ucapan sempena Sambutan Hari Integriti Jabatan Kastam Diraja Malaysia 2023, di Dewan Semarak Jati di sini pada Selasa. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

PUTRAJAYA - Penerapan visi untuk menghuni syurga selepas kematian, dilihat sebagai salah satu penyelesaian kepada masalah rasuah di negara ini.

Menegaskan perkara itu, Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, visi itu akan memandu manusia untuk melakukan perbuatan yang disuruh dan meninggalkan perkara dilarang oleh ALLAH, ini termasuklah rasuah.

"Mereka bertanyakan kepada saya, bagaimana hendak selesaikan masalah rasuah. Kerana apa sahaja undang-undang tidak boleh selesaikannya. Yang boleh selesaikannya adalah jika kita ada visi yang jelas bahawa mati hendak masuk syurga, jadi kita perlu siapkan jiwa kita dengan agama, iaitu takwa dan tauhid kepada ALLAH.

"Jika hendak masuk, kita jangan melakukan perbuatan dosa kerana bila ALLAH marah kita tidak dapat masuk syurga," katanya ketika menyampaikan syarahan sempena Sambutan Hari Integriti Jabatan Kastam Diraja Malaysia 2023, di Dewan Semarak Jati di sini pada Selasa.

Justeru katanya lagi, penerapan nilai agama amat penting dalam memacu masyarakat untuk mengelak daripada melakukan perbuatan mungkar terutamanya perbuatan rasuah.

"Tanamkan nilai al-Quran untuk dijadikan sebagai pegangan hidup... dengan terima rasuah memanglah sekarang hidup mewah tetapi di akhirat macam mana hendak kita hadapi.

"Sekiranya kita boleh berfikir macam itu, ia akan menjadi benteng untuk kita mengelak daripada melakukan perbuatan berkenaan," katanya.

Peserta khusyuk mengikuti syarahan bersama Mr Rasuah Busters. - Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Peserta khusyuk mengikuti syarahan bersama Mr Rasuah Busters. - Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya lagi, untuk menjalani rutin berlandaskan panduan kitab suci berkenaan, individu itu perlulah faham dan memahami apa yang tertulis di dalam al-Quran.

"Kita kena faham dan amalkannya, bukan sekadar menghafal sahaja sebab semua solusi sudah ada di dalam kitab itu.

"Kitab itu adalah penyelesaian kepada semua masalah kita," katanya.

Dalam pada itu ketika ditanya tentang peranan Rasuah Busters, Husammuddin berkata, badan berkenaan bukan berperanan sebagai penguat kuasa sebaliknya ia sebagai satu usaha untuk merealisasikan hasrat Malaysia bebas daripada rasuah.

"Kita merupakan gerakan dari rakyat demi rakyat untuk memulihkan dan membentuk transformasi dan integriti #NilaiMoralKarakterBangsa Malaysia dengan menghapuskan kereputan akhlak dan segala bentuk rasuah," katanya.