Jangan takut lapor salah laku rasuah dalam organisasi

Awgkok Ahmad Taufik Putra (tiga dari kiri) bersama pihak pengurusan Hotel Seri Malaysia selepas merasmikan Program Pelan Anti Rasuah Organisasi Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn Bhd.
Awgkok Ahmad Taufik Putra (tiga dari kiri) bersama pihak pengurusan Hotel Seri Malaysia selepas merasmikan Program Pelan Anti Rasuah Organisasi Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn Bhd.
A
A
A

SEREMBAN - Warga kerja tidak perlu takut untuk melaporkan kesalahan rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku dalam organisasi masing-masing bagi membendung gejala tersebut daripada berleluasa.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail berkata, mereka tidak perlu bimbang kerana identiti setiap pemberi maklumat tidak akan didedahkan.

"Jangan takut nak laporkan jika ada perbuatan rasuah dalam organisasi kerana jika ada rasa takut kita tidak akan ke depan.

"Ia merupakan satu kewajipan dan menjadi satu kesalahan pula kalau tidak laporkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Program Pelan Anti Rasuah Organisasi Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn Bhd di sini pada Khamis.

Awgkok Ahmad Taufik Putra (dua dari kiri) merasmikan Program Pelan Anti Rasuah Organisasi Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn Bhd.
Awgkok Ahmad Taufik Putra (dua dari kiri) merasmikan Program Pelan Anti Rasuah Organisasi Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn Bhd.

Menurutnya, rasuah merupakan satu perbuatan keji baik dari sudut pandangan agama mahupun moral.

Tambahnya, ia bukan sahaja dalam bentuk wang tetapi juga sebarang bentuk pemberian atau tajaan yang mendorong seseorang individu untuk melakukan atau tidak melaksanakan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasminya.

"Selain itu salah guna kuasa pula berlaku apabila seseorang individu menggunakan kedudukannya dalam membuat keputusan di mana dia, saudara atau sekutunya mempunyai kepentingan.

Artikel Berkaitan:

"Seperti semua sedia maklum, rasuah merupakan isu kritikal yang perlu ditangani secara sistematik dan menyeluruh kerana ia boleh menyebabkan berlaku peningkatan pada jumlah kos modal dan pembangunan dalam apa jua program atau projek yang dilaksanakan," katanya.

Tegasnya, rasuah bukan semata-mata kesalahan undang-undang, tetapi juga kesalahan sosial dan peradaban yang boleh menjejaskan imej Malaysia di mata dunia.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada semua pihak terutama warga kerja rangkaian hotel berkenaan untuk berganding bahu menjadikan organisasi itu bebas daripada amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.