Makluman penyelesaian saman SM Faisal, Caprice Jumaat ini

Mahkamah Sesyen menetapkan Jumaat ini untuk memaklumkan mengenai penyelesaian penuh kes saman fitnah antara SM Faisal terhadap Caprice.
Mahkamah Sesyen menetapkan Jumaat ini untuk memaklumkan mengenai penyelesaian penuh kes saman fitnah antara SM Faisal terhadap Caprice.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan Jumaat ini untuk memaklumkan mengenai penyelesaian penuh kes saman fitnah antara ahli perniagaan terkenal, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal terhadap penyanyi rap, Caprice.

Peguam, Ardy Suffian Akberdin yang mewakili SM Faisal berkata demikian kepada pemberita selepas sebutan kes yang dibuat dalam kamar di hadapan Hakim, Azian Othman, pada Selasa.

“4 Ogos ini adalah bagi makluman penyelesaian penuh, serentak dengan pengurusan kes seterusnya.

“Anak guam saya tidak hadir dalam prosiding hari ini, kerana berada di luar negara dan akan kembali ke tanah air pada Khamis,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini Caprice atau nama sebenar, Ariz Ramli, 36, meminta supaya anak guamnya selaku plaintif menarik balik kes saman itu, namun jika tindakan itu diambil, kedua-dua pihak perlu mempunyai persetujuan bersama.

Selain Ardy Suffian, SM Faisal turut diwakili peguam, Farah Dinah Abu Bakar.

SM Faisal, 43, memfailkan saman itu di Mahkamah Sesyen di sini menerusi Tetuan Akberdin & Co pada 15 Ogos 2022 dengan menamakan Caprice sebagai defendan.

Saman fitnah itu berhubung hantaran berbaur fitnah yang dibuat selebriti itu di laman Instagramnya mengenai kes Emilia Hanafi yang juga bekas isteri SM Faisal.

Berdasarkan pernyataan tuntutan SM Faisal berkata, pada 27 Jun tahun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini memerintahkan Emilia, 43, menjalani hukuman penjara tujuh hari kerana gagal mematuhi perintah komital mahkamah.

Plaintif mendakwa insiden itu kemudian dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu dengan niat ‘mala fide’ atau niat jahat tanpa sebarang rujukan atau klarifikasi daripada pihak plaintif.

Sehari selepas itu, plaintif berkata, defendan dengan niat sama turut mengherdik, mencemuh dan memburukkan plaintif atau Mahkamah Syariah dengan memuat naik video atau hantaran melalui Instagramnya pada 28 Jun tahun sama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!