Wujudkan pasukan khas pantau rasuah rentas sempadan

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dicadang mewujudkan pasukan khas bagi memantau jika berlaku amalan rasuah melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pegawai penguat kuasa yang bertugas mengawal sempadan negara.

Ketua Pasukan Rasuah Busters Perlis, Nor Halmey Hamdah berkata, kemasukan warga asing yang tidak terkawal menyebabkan peningkatan kes jenayah sehingga mereka berani melanggar undang-undang di negara ini.

Menurutnya, dengan mewujudkan pasukan khas keselamatan yang berperanan seperti Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP), ia dapat membantu mengawal jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan barang terlarang dan perbuatan rasuah.

“Isu kemasukan warga asing tanpa dokumen sukar ditangani dan memerlukan pasukan khas yang boleh memantau aktiviti ini.

“Penguatkuasaan undang-undang sedia ada sudah cukup baik, tetapi kita mahu kawalan keselamatan ini dipertingkat kerana khuatir masyarakat mempunyai persepsi buruk dan mempersoal integriti kerajaan.

“Kita perlukan pasukan yang mampu membanteras kedatangan PATI secara agresif dan holistik,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang lelaki etnik Rohingya, Noor Kalam Soyut Alam, 29, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah atas tuduhan memberi rasuah sebanyak RM7,000 kepada pegawai kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) di Langkawi tahun lalu.

Perbuatan tersebut dilakukan sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap penyeludupan masuk PATI warga Rohingya seramai 25 orang melalui jalan laut.

Artikel Berkaitan: