Pendengaran petisyen cabar Enakmen Syariah di Mahkamah Persekutuan esok

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Prosiding pendengaran petisyen seorang peguam dan anaknya untuk mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam usaha mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah di Mahkamah Persekutuan di sini, akan bersambung pada Isnin.

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, akan mendengar hujahan pihak-pihak yang dinamakan sebagai sahabat mahkamah atau Amicus Curiae, dalam prosiding yang bermula 17 Ogos lalu.

Mereka ialah Sisters In Islam (SIS); Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Sebelum ini, peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman memfailkan petisyen terhadap Kerajaan Negeri Kelantan.

Pada 25 Februari 2021, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan Iki Putra mencabar keabsahan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 berhubung kesalahan seks luar tabii.

Mahkamah membuat keputusan enakmen kesalahan syariah yang termasuk dalam senarai Persekutuan, secara automatik adalah terbatal.

Dalam kes berkenaan, Nik Elin Zurina memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan supaya 20 seksyen kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.

Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberi anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).

Artikel Berkaitan:

Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).

Mereka juga memohon mahkamah mengisytiharkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam sahaja.

Sementara itu, pada bulan lalu, Perikatan Nasional (PN) memberitahu, akan menganjurkan siri perhimpunan pada 16, 18 dan 20 November, bagi membantah petisyen dua individu yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perhimpunan munajat akan dibuat di Istana Kehakiman, Putrajaya pada jam 9 pagi.

Menurutnya, PN mengambil serius cabaran terhadap mahkamah syariah yang bermula dari kes Iki Putra sebelum ini.

Ini kerana katanya, implikasi kes berkenaan sangat besar kepada seluruh undang-undang Mahkamah Syariah di negara ini.

Beliau berkata, jika ia berlaku (permohonan Nik Elin Zurina diluluskan mahkamah), perkara itu akan menyebabkan sebahagian besar bidang kuasa Mahkamah Syariah terhapus.